KEADAAN hari pertama Mesyuarat Khas Dewan Rakyat. FOTO BERNAMA
KEADAAN hari pertama Mesyuarat Khas Dewan Rakyat. FOTO BERNAMA
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Walau hampir enam bulan tidak bersidang, Mesyuarat Khas Dewan Rakyat yang menutup hari pertama pada 5.45 petang tadi, tetap juga seperti persidangan terdahulu, tidak sunyi daripada berbalahan dan 'perang mulut'.

Sejam selepas pembukaan pada sebelah pagi, ada lebih 15 Ahli Parlimen blok pembangkang yang mencelah, merujuk Peraturan Mesyuarat dan mempersoalkan ketiadaan perbahasan dan pengundian bagi perkara yang dibentangkan Menteri.

Rasa tidak puas hati Ahli Parlimen itu terbit kerana hampa apabila persidangan yang sangat dinanti-nanti membuka tirai dengan penjelasan yang dakwa mereka penerangan biasa tanpa undian, khususnya mengenai Proklamasi dan Ordinan Darurat.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun pula terpaksa meninggikan suara selepas beberapa tegurannya tidak diendahkan Ahli Parlimen yang 'panas'.

Suhu persidangan kembali naik selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengumumkan kerajaan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk meneruskan Proklamasi Darurat selepas ia tamat pada 1 Ogos ini.

Selain itu, Takiyuddin juga memaklumkan enam Ordinan Darurat sudah ditamatkan pada 21 Julai lalu, yang menyebabkan sesi perbahasan selepas penerangan Pelan Pemulihan Negara (PPN) oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi medan Ahli Parlimen blok pembangkang 'melepas geram'

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil mempersoalkan pengumuman itu sambil melabelkan tindakan berkenaan tidak menghormati Perlembagaan dan Raja Berperlembagaan.

Kembali bersidang pada 2.30 petang, sesi perbahasan yang pada mulanya tenang membabitkan penyertaan wakil kerajaan dan pembangkang, hangat semula sejurus Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengambil giliran menjawab isu berkaitan PPN.

Khalid Abdul Samad (PH-Shah Alam) dan Lim Guan Eng (PH- Bagan) antara Ahli Parlimen yang bangun mempersoalkan ketiadaan Muhyiddin untuk menjawab soalan mereka, selain celahan bertubi oleh Ahli Parlimen lain hingga sesi penerangan Tengku Zafrul terhenti lebih 10 kali.

Bagi meredakan keadaan, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan sesi itu sememangnya dikendalikan Tengku Zafrul selaku Menteri Penyelaras PPN.

Selain itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut 'diserang' kerana dikatakan menjadi penyebab berlakunya peningkatan kes Covid-19 susulan lambakan kluster kilang.

Azhar kemudian menangguhkan hari pertama mesyuarat khas Parlimen Keempat Belas, Penggal Ketiga itu dan persidangan bersambung semula 10 pagi, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Julai 2021 @ 8:12 PM