Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Sidang Parlimen pagi ini bermula panas apabila blok pembangkang bangkit mempersoalkan ketiadaan perbahasan berhubung Proklamasi dan Ordinan Darurat.

Tun Dr Mahathir Mohamad (Pejuang-Langkawi) bangkit mempersoalkan sesi yang dijalankan pagi ini bukan sidang Parlimen sebenar.

Beliau berkata, sesi kali ini dianggap hanya sebagai sesi penerangan mengenai langkah yang diambil kerajaan dalam menangani Covid-19.

Katanya, ia bertentangan dengan titah Raja-Raja Melayu yang mahu persidangan Parlimen kali ini membentangkan Proklamasi dan Ordinan Darurat.

"Kita tidak perlu penerangan tapi perbahasan mengenai penderitaan rakyat tapi ini tidak masuk dalam agenda (aturan mesyuarat).

"Ini satu penipuan lebih-lebih lagi apabila tekanan Covid-19 menjadi alasan darurat tidak dibincang dan dibahas untuk cara mengatasinya," katanya dalam sesi Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu beberapa Ahli Parlimen turut bangkit menyuarakan pandangan sama agar perbahasan mengenai darurat dibuat dalam persidangan kali ini.

DR Mahathir pada sesi sidang Parlimen hari ini.
DR Mahathir pada sesi sidang Parlimen hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, berdasarkan Peraturan Mesyuarat 11(3) jelas menyatakan dalam konteks Parlimen Malaysia ada sidang biasa dan sidang khas.

Menurutnya, sebelum ini sidang khas juga pernah diadakan seperti pencerobohan Israel dan ini bukan satu perkara baru.

"Ini bukan sesuatu yang baharu. Kita pernah mengadakan sesi sidang khas," katanya.

Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun tampil mengawal keadaan dengan menjawab bahawa persidangan kali ini mengikut Peraturan Mesyuarat 11(3).

Katanya, ia berlaku ketika Parlimen berlaku dalam penangguhan penggal ketiga manakala penggal keempat akan bermula 6 September.

"Secara teknikal kita masih dalam penggal tertangguh dan menurut Peraturan Mesyuarat 11(3), Perdana Menteri memberi pemakluman kepada saya untuk kepentingan awam adalah mustahak adakan satu sidang.

"Urusan mesyuarat khas ditetapkan Perdana Menteri bukan ditetapkan saya atau menteri lain," katanya.

Azhar juga terpaksa meninggikan suara apabila ada Ahli Parlimen enggan memberi laluan kepada beliau untuk memberi penjelasan.

"Yang Berhormat kena faham peraturan mesyuarat dan jangan hanya bersetuju peraturan yang menyebelahi Yang Berhormat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Julai 2021 @ 11:37 AM