Redzuan Muharam

Bangi: Biarpun tidak dapat berkumpul bersama keluarga pada Aidiladha tahun ini, petugas Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bangi Avenue Convention Centre (BACC), Taman Bangi Avenue, di sini, tetap komited menjalankan tugas diamanahkan kepada mereka dengan sebaiknya.

Pengorbanan itu dilakukan demi membantu penerima vaksin yang hadir mendapatkan suntikan di PPV berkenaan.

Tinjauan Harian Metro di PPV BACC mendapati rata-rata petugas terdiri daripada kakitangan pelbagai agensi dan sukarelawan hadir memakai busana tradisional.

Salah seorang petugas, Dr Sarah Wong Azman, 36, dari Klinik Uzma, Kelana Mall, Petaling Jaya, Selangor mengakui sayu kerana tidak dapat bersama keluarga termasuk suaminya, Mohd Shahrin Roselan, 36, yang kini bertugas sebagai jurutera di Turki.

Bagaimanapun Dr Sarah yang juga ibu tiga anak akur malah gembira kerana dapat membantu orang ramai yang hadir ke PPV untuk menerima suntikan vaksin.

"Saya mula bertugas di sini sejak 5 Julai lalu dan ia pengalaman pertama saya menyumbang khidmat di PPV.

"Kebanyakan yang datang ke sini kelihatan takut dan gementar, jadi saya bersama petugas lain bersama membantu menenangkan mereka.

"Gembira rasanya dapat turut sama menyokong usaha kerajaan membantu rakyat walaupun perlu bertugas di sini setiap hari termasuk pada Aidiladha. Diharap kita semua berusaha ke arah melawan Covid-19," katanya ketika ditemui di PPV BACC, hari ini.

Seorang lagi petugas, Leftenan Mohd Shahrull Abdullah, 35, dari Rejimen 502 Askar Wataniah yang ditugaskan sebagai pembantu pengurus majlis di PPV BACC berkata, dia turut bersedih kerana tidak dapat meraikan Aidiladha dengan keluarga tercinta.

Bagaimanapun Mohd Shahrull reda dan tetap fokus untuk menjalankan tugas diamanahkan di PPV.

"Ini pengalaman pertama saya tidak dapat beraya dengan keluarga. Ini juga PPV kedua saya kerana sebelum ini ditugaskan di PPV Ideal Convention Centre, Shah Alam.

"Sedih itu tidak dapat digambarkan kerana anak dan isteri dekat saja di Taman Puncak Saujana, Kajang tetapi saya jarang balik ke rumah dan menetap di Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan, Bangi kerana memikirkan keselamatan mereka.

"Saya lakukan pengorbanan ini demi negara dan membantu memudahkan urusan orang ramai di PPV ini selain akur dengan arahan kerajaan yang melarang aktiviti ziarah ketika ini," katanya.

Sementara itu, Ketua PPV BACC Dr Mahani Pardan berkata, seramai 578 petugas menyumbang bakti sejak PPV berkenaan beroperasi pada 5 Julai lalu.

Katanya, mereka adalah penjawat awam daripada Agensi Nuklear Malaysia iaitu agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Kesihatan Malaysia, ProtectHealth Corporation, Healtopedia, UZMA Group, Angkatan Tentera Malayia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Sukarelawan Pembantu Vaksin Malaysia.

"Sebanyak 72,224 dos diberikan sehingga semalam dan kesemuanya adalah dos pertama vaksin jenis Sinovac.

"Jumlah tertinggi adalah pada 8 Julai lalu dengan 5,598 dos diberikan dan terendah kelmarin dengan 3,940 dos.

"PPV ini turut menerima kehadiran penerima dalam kalangan warga emas dengan purata 25 hingga 30 orang sehari," katanya.

Petugas sukarelawan, berpakaian baju melayu ketika bertugas membantu penerima vaksin pada hari raya aidiladha di Bangi Avenue Convetion Center. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Petugas sukarelawan, berpakaian baju melayu ketika bertugas membantu penerima vaksin pada hari raya aidiladha di Bangi Avenue Convetion Center. FOTO HAZREEN MOHAMAD

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Julai 2021 @ 4:45 PM