Redzuan Muharam

Kajang: Mahu menimba pengalaman baharu di samping mengisi masa terluang dengan melakukan perkara bermanfaat, mendorong empat beradik menjadi sukarelawan di Pusat Pemberian Vaksin Bangi Avenue Convention Centre (BACC) di sini, sejak 5 Julai lalu.

Malah Muhammad Mubasyir Zakaria, 31, bersama adik-adiknya, Maisarah, 29; Maizatul Anisah, 23; dan Muhammad Muzaffar, 19, tidak kisah untuk membanting tenaga ketika orang lain menyambut Aidiladha bersama keluarga di rumah, hari ini.

Menurut Maisarah, dia seronok apabila dapat berkhidmat di PPV itu dan tidak merasa sunyi kerana bersama adik-beradiknya dan petugas lain.

"Sebelum ini, saya bekerja di sebuah pusat beli belah dekat Bandar Utama, Petaling Jaya tetapi sudah berhenti atas sebab-sebab tertentu.

"Memandangkan ada waktu terluang di rumah, saya saya cuba mohon sebagai sukarelawan dan seronok apabila terpilih seterusnya bertugas di PPV ini kerana sudah lama tidak bekerja.

"Lagipun, ini kali pertama saya bertugas dan beraya di PPV tetapi tidak bosan kerana ada adik-beradik serta rakan sukarelawan lain," katanya yang bertugas di kaunter pemerhatian.

Sementara itu, adiknya, Muhammad Muzaffar berkata, dia turut serta menjadi sukarelawan kerana mahu menimba pengalaman berurusan dengan orang ramai.

"Saya masih menuntut di ATC Academy, Shah Alam mengambil Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam kursus Kimpalan dan Fabrik.

"Hendak cari kerja sambilan agak sukar ketika ini, jadi saya nekad menjadi sukarelawan di PPV. Walaupun baru dua minggu, pengalaman ditimba amat menyeronokkan.

"Saya gembira dapat membantu urusan mereka yang hadir untuk mendapatkan suntikan vaksin," katanya yang bertugas sebagai penunjuk arah selain, membantu penerima sebelum dan selepas selesai menjalani pemerhatian.

PETUGAS sukarelawan, Maizatul Anisah (kiri), Maisarah, Muhammad Muzaffar dan Muhammad Mubasyir merupakan adik beradik yang bertugas membantu penerima vaksin pada hari raya aidiladha di Bangi Avenue Convetion Center. FOTO Hazreen Mohamad
PETUGAS sukarelawan, Maizatul Anisah (kiri), Maisarah, Muhammad Muzaffar dan Muhammad Mubasyir merupakan adik beradik yang bertugas membantu penerima vaksin pada hari raya aidiladha di Bangi Avenue Convetion Center. FOTO Hazreen Mohamad

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Julai 2021 @ 5:57 PM