Sri Ayu Kartika Amri


Bangi: Operasi vaksinasi tanpa janji temu (walk-in) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Bangi Avenue (BACC) dibuka semula bermula hari ini.

Pengurus PPV BACC, Dr Mahani Pardan berkata, pihaknya sudah bersedia untuk membekalkan tambahan vaksin bagi menampung penerima secara 'walk-in' ini.

Katanya, kapasiti pemberian vaksin untuk hari ini dianggarkan 1,120 dos vaksin.

"Sejak 14 September lalu, kita tidak lagi menerima penerima vaksin secara walk-in, bagaimanapun semalam pihak Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) menerima arahan PPV BACC dibuka semula untuk vaksin walk-in.

"Selain itu, penerima vaksin berusia 18 tahun ke bawah juga sudah mula datang ke sini hari ini dan kalau ikutkan statistik anggaran yang datang sudah mula rendah iaitu antara 1,500 ke 2,000 orang sahaja.

"Sebelum ini, PPV BACC mampu menerima kapasiti maksimum sehingga 5,000 penerima sehari.

"Jumlah ini semakin berkurangan disebabkan sudah ramai yang menerima vaksin dengan pelbagai inisiatif dilaksanakan kerajaan Selangor dan kadar vaksinasi di Selangor juga antara tertinggi," katanya pada sidang media sempena sambutan Hari Malaysia di PPV BACC di sini, hari ini.

PETUGAS kesihatan dan sukarelawan di PPV Bangi Avenue memakai pakaian Kebangsaan berbilang kaum sempena sambutan Hari Malaysia ketika bertugas di PPV Bangi. FOTO Hazreen Mohamad
PETUGAS kesihatan dan sukarelawan di PPV Bangi Avenue memakai pakaian Kebangsaan berbilang kaum sempena sambutan Hari Malaysia ketika bertugas di PPV Bangi. FOTO Hazreen Mohamad

Hadir sama, Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia , Dr Siti A'iasha Hashim dan Ketua Penyelaras PPV BACC, Hasfazilah Hassan.

Dr Mahani berkata, justeru atas arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), PPV BACC kini dibuka semula kepada penerima 'walk-in' sehingga 5 Oktober ini.

"Kami menerima maklumat bahawa PPV BACC akan ditutup pada 5 Oktober, namun tarikh ini tertakluk kepada arahan pihak berkuasa," katanya.

Sementara itu, seramai 280 petugas PPV BACC memakai pakaian tradisional kebangsaan sebagai tanda meraikan sambutan Hari Malaysia hari ini.

Hasfazilah berkata, hari ini adalah hari ke-74 PPV BACC beroperasi dan semua petugas bersama-sama menyambut Hari Malaysia secara sederhana.

"Ada petugas mengenakan pakaian tradisional termasuk baju kurung, baju Melayu, sari dan cheongsam bagi meraikan Hari Malaysia.

"Selain itu, kami juga mengadakan pertandingan teka bilangan vial vaksin dan menerima sambutan begitu menggalakkan.

"Pemenang akan menerima wang tunai, hamper dan tiket percuma ke Bangi Wonderland. Kita juga mengadakan acara potong kek," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 4:44 PM