Polis menyiasat perbuatan sekumpulan individu berkumpul dan menjamu selera di sebuah pondok di tepi sungai di sebuah perkampungan di Skudai di sini. FOTO Ihsan Pembaca
Polis menyiasat perbuatan sekumpulan individu berkumpul dan menjamu selera di sebuah pondok di tepi sungai di sebuah perkampungan di Skudai di sini. FOTO Ihsan Pembaca
Mary Victoria Dass


Johor Bharu: Tindakan sekumpulan individu menikmati makanan secara berkumpulan di tepi sungai sebuah perkampungan di Skudai di sini baru baru ini, kini dalam siasatan polis.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Ab Wahid berkata, tular di laman sosial Facebook (Fb) video menunjukkan kira-kira 12 individu lelaki dan perempuan sedang menikmati makanan secara berkumpulan di sebuah pondok.

Menurutnya, video berdurasi dua minit 17 saat yang tular itu dimuatnaik di akaun atas nama Atan Abdul.

Beliau berkata, ia menunjukkan kira-kira 12 individu termasuk lelaki dan perempuan sedang menikmati makanan secara berkumpulan.

"Perbuatan ini jelas melanggar prosedur operasi standard (SOP) fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) iaitu larangan berkumpul atau mengadakan atau menghadiri sebarang majlis berkumpulan.

"Mereka juga didapati tidak mematuhi penjarakan sosial dan tidak memakai pelitup muka yang ditetapkan prosedur operasi standard (SOP).

"Kes disiasat mengikuti Perkara 17 (1) Peraturan peraturan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 yang memperuntukkan hukuman denda RM4,000 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.

"Polis menasihati orang ramai supaya mematuhi peraturan ditetapkan bagi mengekang penularan wabak Covid-19," katanya menerusi kenyataan media.

Video yang tular berkenaan menunjukkan sekumpulan individu bebas menjamu selera berkonsep 'potluck' tanpa mempedulikan keselamatan diri sendiri.

Malah penganjur juga memperkenalkan identiti tetamu yang berkumpul di sebuah pondok di tepi sungai sempena sesi penerangan berkaitan SOP dan vaksinasi kepada penduduk kampung.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Julai 2021 @ 6:28 PM