Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Polis akan memanggil Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon bagi memberi keterangan berhubung kes gambar tular terbaharu membabitkannya yang didakwa berlaku pada tengah malam, Aidiladha lalu.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, siasatan dilakukan berikutan gambar tular membabitkan Mohd Rashid, isteri dan anaknya yang didapati menikmati makan lewat malam atau mentong di sebuah inap desa, di Rengit, Batu Pahat.

Katanya, kertas siasatan berhubung gambar tular pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) membabitkan Mohd Rashid bersama isteri dan anaknya itu juga sudah dibuka untuk siasatan lanjut.

"Kita akan panggil Mohd Rashid dan keluarganya yang terbabit serta pemilik inap desa itu bagi diambil keterangan dalam masa terdekat.

"Kes akan disiasat mengikut Peraturan 18(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Semalam, gambar Mohd Rashid, isterinya, Datin Azizah Haron serta anak bongsu mereka yang sedang menikmati makan lewat malam (mentong) bersama, sementara menunggu untuk sesi sembelihan lembu korban di sebuah inap desa sebuah ladang pertanian di Rengit, tular di media sosial.

Mohd Rashid dan keluarganya berada di inap desa itu bagi menyertai sesi korban dan penyembelihan lembu di rumah sembelihan yang beroperasi 24 jam itu berdasarkan prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan kerajaan Johor.

Sebelum ini, Rashid pernah mencetuskan rasa tidak puas hati orang ramai apabila menghadiri jamuan durian di Batu Pahat. Pada awalnya Ahli Parlimen Batu Pahat itu mendakwa gambar berkenaan dirakam sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Bagaimanapun, dia kemudian meminta maaf dan mengakui hadir pada jamuan berkenaan dan berjanji memberikan kerjasama kepada polis yang menyiasat insiden itu.

Ketika ditanya mengenai perkembangan video tular makan durian beramai-ramai yang turut membabitkan Mohd Rashid, Ayob Khan berkata, kertas siasatan berhubung kes berkenaan sudah dihantar ke Pejabat Peguam Negara pada 14 Julai lalu.

"Kita menunggu maklum balas daripada Pejabat Peguam Negara untuk meneruskan pendakwaan.

Dalam pada itu, Ayob Khan berkata, kes video tular sekumpulan individu yang dipercayai membabitkan petugas kesihatan makan durian di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di bandar raya ini juga sudah dibuka kertas siasatan dan siasatan masih diteruskan.

Sementara itu, Ayob Khan berkata, terdapat orang awam yang mempertikaikan kononnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengamalkan pilih kasih dalam mengeluarkan kompaun terhadap golongan VIP dan masyarakat biasa berhubung kes ketidakpatuhan SOP.

Katanya, netizen mendakwa PDRM terus mengeluarkan kompaun jika rakyat melakukan kesalahan SOP manakala golongan VIP pula akan membuka kertas siasatan dahulu.

"Ini sebenarnya persepsi salah. Kesalahan SOP menerusi pemantauan langsung dan lapangan memang akan dikeluarkan kompaun serta-merta.

"Ia berbeza dengan kes gambar atau video tular kerana polis tidak berada di lokasi kejadian ketika ia berlaku.

"Kes tular sama ada membabitkan rakyat biasa atau VIP, perlu dibuka kertas siasatan bagi membolehkan siasatan dibuat berhubung gambar tular itu sama ada ia kejadian baharu atau lama serta gambar yang edit.

"Jika sahih, siasatan akan diteruskan tidak mengira sama ada rakyat biasa atau VIP," katanya.

AYOB Khan pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
AYOB Khan pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 3:23 PM