ABD Halim Md Noor (tengah) dan Muaz Mohd Noor (kiri) ketika menyampaikan sumbangan laptop kepada pelajar UiTM Melaka. FOTO UiTM Melaka
ABD Halim Md Noor (tengah) dan Muaz Mohd Noor (kiri) ketika menyampaikan sumbangan laptop kepada pelajar UiTM Melaka. FOTO UiTM Melaka
Nazri Abu Bakar

am@hmetro/com.my

Alor Gajah : Lebih 100 penuntut dan kakitangan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerima bantuan mencecah RM20,000 menerusi tabung sedekah kampus berkenaan.

Koordinator Unit Waqaf, Zakat dan Infaq (EL-WAZIF) kampus itu, Muaz Mohd Noor berkata, pihaknya juga turut meluluskan lebih 704 permohonan zakat dalam kalangan penuntut diploma dan ijazah termasuk dari kampus UiTM Alor Gajah, Jasin dan Kampus Bandaraya Melaka Jalan Hang Tuah.

Menurutnya, individu yang memohon adalah dikalangan keluarga yang hilang punca pendapatan, adik beradik ramai, membeli data, mempunyai masalah membayar yuran sejak tiga semester lalu dan ibu bapa hilang sumber pencarian berikutan bekerja sendiri.

Malah ada juga yang memohon disebabkan mempunyai masalah kesihatan dan tidak dapat bekerja pada cuti semester untuk menampung perbelanjaan harian.

"Ketika ini, EL-WAZIF kampus turut mewujudkan talian khas bagi membantu mereka yang menghadapi masalah kewangan, makanan mahupun berkaitan keperluan harian.

"Kempen khas yang dikenali 'Hotlines WhatsApp El-Wazif' itu juga diperluaskan ke media baharu lain seperti Facebook dan Instagram, melalui bantuan pensyarah dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP),"katanya.

Program yang turut mendapat sokongan penuh dari Rektor UiTM Cawangan Melaka, Profesor Dr. Abd Halim Mohd Noor itu simbolik keprihatinan dan cakna pengurusan terhadap persekitaran semasa dalam memastikan tiada yang tercicir menerima bantuan terutama kepada mereka yang amat terkesan dengan situasi terkini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Julai 2021 @ 7:19 PM