SUASANA kemasukan penuntut baharu ke UiTM Melaka di Lendu. FOTO Nazri Abu Bakar
SUASANA kemasukan penuntut baharu ke UiTM Melaka di Lendu. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


Melaka: Terharu dan teruja. Itu perasaan penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka yang menjejakkan kaki ke kampus hari ini selepas sekian lama hanya melakukan pengajian secara dalam talian akibat penularan Covid-19.

Bagi Aida Fazira Arifin, 19, dia sangat teruja menjejakkan kaki ke kampus buat kali pertama selepas hanya mengikuti pengajian secara online pada semester pertama.

Penuntut Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka yang kini memasuki semester kedua berkata, seronok dapat bertemu rakan dan pensyarah secara bersemuka selain tidak sabar untuk ke bilik kuliah.

"Sebelum ini bertemu rakan dan pensyarah secara dalam talian namun kali ini jelas berbeza. Namun apa yang diharapkan semuanya berjalan lancar menjelang era endemik 1 April ini.

"Kami (penuntut) akan mematuhi setiap prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan universiti termasuk ketika berada di kolej, bilik kuliah atau aktiviti kampus kerana ia penting menjelang era endemik kelak," katanya yang sudah lengkap dos ketiga.

Kakaknya, Aida Farzana, 25, ketika ditemui juga mengakui teruja dapat menghantar adiknya ke kampus selepas menamatkan pengajian ijazah di UiTM Seremban.

"Ia mengimbau semula kenangan semasa mengikuti pengajian diploma ketika belum tercetusnya pandemik Covid-19," katanya.

Sementara itu, Koordinator Unit Komunikasi Korporat UiTM Melaka, Akmal Adnan berkata, SOP kemasukan penuntut ke kampus disusun mengikut kesesuaian dalam memastikan keselamatan dan keselesaan kepada mahasiswa dan ahli keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2022 @ 2:02 PM