’Syamilla Biha’ berjaya ditangkap
’Syamilla Biha’ berjaya ditangkap
BERNAMA

Kota Bharu: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan berjaya menangkap seekor harimau belang betina, selepas haiwan liar yang diberi gelaran 'Syamilla Bihai' itu memasuki 'perangkap Wahab' yang dipasang di Kampung Badak dekat Pos Bihai, Gua Musang, Khamis lalu.

Harimau belang itu dipercayai pernah menyerang seorang lelaki Orang Asli suku Temiar, Adin a/l Andok, 48, di kawasan kebun di kampung itu pada 5 Julai lalu.

Pengarah Perhilitan Kelantan Ady Ermanty Haniff Mohamed Hanif berkata, susulan aduan pada 5 Julai itu, pihaknya menjalankan siasatan awal, diikuti pemantauan serta pemasangan perangkap kamera di lokasi kejadian dari 7 hingga 9 Julai lalu, yang berjaya merakam kehadiran harimau belang berkeliaran di kawasan berkenaan.

"Seterusnya pada 12 Julai, lapan kakitangan Perhilitan Kelantan menjalankan operasi tangkapan dan pemasangan satu unit perangkap harimau dikenali sebagai 'Perangkap Wahab'," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Beliau berkata, harimau itu didapati mengalami luka di beberapa bahagian kepala, tengah badan, leher dan ekor dipercayai akibat pergelutan dengan mangsa serangan.

Ady Ermanty berkata, harimau itu kemudiannya dipindahkan ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai, Perak untuk rawatan lanjut semalam, dengan operasi pemindahan diketuai oleh Pengarah Ex-Situ, Ahmad Azhar Mohammed dari ibu pejabat Perhilitan.

Menurutnya, operasi pemindahan disertai oleh 11 kakitangan Perhilitan Kelantan, tujuh kakitangan NWRC serta tiga kakitangan Bahagian Ex-Situ dan beberapa sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pelindung Alam Malaysia.

Beliau berkata, Perhilitan Kelantan akan terus menjalankan pemantauan dan kawalan di kawasan berkenaan bagi menjamin keselamatan penduduk dan hidupan liar.

Sementara itu, Ady Ermanty berkata, pihaknya juga akan membantu Adin dalam permohonan bantuan Kumpulan Wang Amanah Bantuan Mangsa Serangan Binatang Buas di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati serta berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar, dan sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar boleh disalurkan kepada Jabatan Perhilitan dengan menelefon hotline Perhilitan 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Julai 2021 @ 5:45 PM