Perhilitan berjaya menangkap seekor harimau belang di Pos Pasik, Gua Musang, petang tadi. FOTO Ihsan Perhilitan
Perhilitan berjaya menangkap seekor harimau belang di Pos Pasik, Gua Musang, petang tadi. FOTO Ihsan Perhilitan
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan berjaya menangkap seekor harimau belang di Pos Pasik, Gua Musang, petang tadi.

Harimau berkenaan ditangkap sekitar 2 petang yang memasuki perangkap dipasang dalam keadaan sihat dan akan dibawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai, Perak.

Perhilitan menerusi kenyataannya berkata, tangkapan itu dilakukan susulan Operasi Tangkapan Harimau Belang bermula 6 Oktober lalu selepas kematian seorang lelaki Orang Asli di Pos Pasik pada 5 Oktober.

"Pos Pasik adalah salah sebuah kampung yang terletak di kawasan Perkampungan Orang Asli di Gua Musang. Perjalanan ke kampung berkenaan mengambil masa lebih kurang tiga hingga empat jam bergantung kepada faktor cuaca serta keadaan jalan balak yang hanya boleh dilalui dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda sahaja.

"Susulan daripada kejadian meragut nyawa seorang penduduk Orang Asli pada 6 Oktober, Jabatan Perhilitan Kelantan menjalankan siasatan awal, pemantauan serta pemasangan satu unit perangkap Harimau Belang di lokasi berkenaan yang membabitkan 10 anggota," katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Katanya, sehingga kini, mengikut rekod Perhilitan, kes kecederaan dan kematian manusia akibat serangan harimau membabitkan seorang cedera dan empat maut.

"Dengan kejayaan Operasi Tangkapan Harimau Belang ini akan meredakan dan kegusaran penduduk Orang Asli di Pos Pasik. Bagaimanapun, penduduk di Pos Pasik perlu berjaga-jaga untuk keluar ke ladang dan disarankan bekerja secara berkumpulan.

"Harimau Belang yang berjaya ditangkap masih dalam siasatan bagi mengenal pasti harimau yang sama menerkam mangsa dalam kejadian yang lalu.

"Orang ramai adalah dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dan berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar dan tidak melakukan provokasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 November 2023 @ 7:57 PM