SYAMILLA dirawat doktor veterinar Jabatan Perhilitan sebaik ditangkap pada 15 Julai lalu.
SYAMILLA dirawat doktor veterinar Jabatan Perhilitan sebaik ditangkap pada 15 Julai lalu.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Terpaksa menerima 13 jahitan di kepala akibat luka ditetak parang sepanjang lebih lapan sentimeter.

Itu nasib harimau betina diberi nama Syamilla Bihai yang cedera di muka akibat ditetak parang dalam pergelutan dengan Orang Asli di Kampung Badak, Pos Bihai, Gua Musang, Kelantan, 5 Julai lalu.

Harimau belang itu yang cedera di badan, leher dan ekor akibat pergelutan dengan mangsa, Adin Andok, 48, kini beransur pulih.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Datuk Abdul Kadir Abu Hashim dihubungi berkata, Syamilla Bihai yang berjaya ditangkap 15 Julai lalu kini ditempatkan dalam kurungan di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai, Perak.

Menurutnya, petugas Perhilitan NWRC memberi perhatian penuh dalam merawat dan memastikan harimau betina dewasa itu pulih.

"Keadaannya kini positif. Kecederaan di muka harimau itu beransur pulih. Luka tetakan di kepala sudah dijahit.

"Selera makan harimau itu bertambah baik kerana Syamilla mula makan daging. Dia dipantau rapi doktor veterinar Jabatan Perhilitan serta kakitangan NWRC," katanya.

Ditanya sama ada Syamilla Bihai dilepaskan semula ke hutan, Kadir memaklumkan keutamaan kini merawat kecederaan dialami mamalia spesies terancam itu.

"Keputusan melepaskannya ke hutan belum dibincangkan lagi. Pemeriksaan mendapati harimau betina itu tidak memiliki kesan luka dijerat atau pernah ditembak pemburu haram sebelum ini," katanya.

Dalam serangan itu, mangsa, Adin ditemui terbaring selepas diserang harimau dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membersihkan kebun ubi kayu miliknya di Kampung Badak.

Mangsa dikatakan sempat menetak harimau belang dengan parang bagi menyelamatkan dirinya selepas diterkam haiwan seberat lebih 100 kilogram itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 7:30 AM