FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: "Alhamdulillah, InsyaAllah hari ini dapat suntikan vaksin dos pertama dengan menggunakan laluan khas.

"Bila dapat tahu boleh ambil suntikan vaksin secara terus (walk-in), makcik terus datang ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV)," kata kata Hamidah Abidin.

Hamidah, 72, antara warga emas yang mengambil peluang untuk mendapatkan suntikan vaksin selepas Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengumumkan, warga emas yang tidak mendapat janji temu boleh hadir secara terus di PPV Kuala Lumpur dan Selangor.

"Langkah ini amat wajar supaya golongan berisiko tinggi seperti makcik mendapat keutamaan dan perlindungan hasil daripada suntikan vaksin," katanya.

Tinjauan di beberapa lokasi PPV, khususnya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) memperlihatkan kehadiran warga emas untuk mendapatkan suntikan vaksin dos pertama.

Rata-rata warga emas yang hadir secara terus mahu untuk mendapatkan suntikan dengan cepat dan ada juga dalam kalangan mereka yang masih belum mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera untuk temu janji.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, langkah diperkenalkan kerajaan sangat tepat kerana warga emas adalah golongan paling berisiko terutamanya dalam jangkitan varian baharu Covid-19.

Beliau berkata, langkah itu juga boleh diperluaskan di seluruh negara supaya golongan berisiko mendapat perlindungan awal.

"Langkah untuk membenarkan secara datang terus khusus untuk warga emas di Selangor dan Kuala Lumpur adalah sangat baik, untuk masa akan datang boleh diperluaskan di seluruh negara.

"Jika kita lihat semula, ramai golongan warga emas ini tinggal di kawasan luar Lembah Klang, jadi relevan untuk pendekatan sama dilaksanakan di seluruh negara," katanya.

Beliau turut berpandangan bahawa program vaksinasi negara boleh dipercepatkan dengan memberi fokus kepada warga asing selain daripada golongan berisiko tinggi supaya imuniti kelompok dapat dicapai dengan lebih pantas.

"Saya lihat sebaran maklumat yang digunakan oleh kerajaan hari ini juga sangat bagus dan fokus utama pada hari ini adalah peringkat luar bandar," katanya.

Langkah pemberian vaksin secara datang terus itu diumumkan oleh Khairy Jamaluddin khusus untuk individu berusia 60 tahun dan ke atas yang belum mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Julai 2021 @ 4:29 PM