JAS sedang memantau kerja pembaikan benteng kolam pengolahan efluen yang pecah Selasa lalu sehingga menyebabkan pencemaran sungai di Ulu Keratong, Rompin, Pahang. FOTO ihsan FB
JAS sedang memantau kerja pembaikan benteng kolam pengolahan efluen yang pecah Selasa lalu sehingga menyebabkan pencemaran sungai di Ulu Keratong, Rompin, Pahang. FOTO ihsan FB
BERNAMA

Kuantan: Operasi Loji Rawatan Air (LRA) Keratong di Rompin, yang dihenti tugas akibat pencemaran sehingga menjejaskan kira-kira 50,000 pengguna, dijangka pulih secara berperingkat pada Ahad ini, kata Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata, Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) juga sudah membuat pemantauan terhadap air Sungai Pukin secara berterusan bagi memastikan LRA terbabit dapat beroperasi semula, selain tiga sampel diambil oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) daerah pada Ahad lalu.

Sampel air daripada muka sauk Kampung Rekoh, Kampung Lubuk Batu dan Kampung Aur itu sudah dihantar ke makmal LRA Gadak, Rompin bagi tindakan sewajarnya.

"Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah menggerakkan bantuan lori tangki dari operator bekalan air negeri dan pelbagai agensi untuk membantu membekalkan air bersih, selain 10 lori yang disediakan PAIP dengan jumlah keseluruhan lori sebanyak 41 buah.

"Selain itu, 300 unit tangki statik juga diletakkan di lokasi strategik di kawasan terjejas," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Pada 9 Julai lalu, Pegawai Daerah Rompin Ahmad Nasim Mohd Sidek mengesahkan berlaku pencemaran di Sungai Pukin, Keratong, dipercayai berpunca selepas salah satu tebing kolam rawatan sisa sawit sebuah kilang runtuh menyebabkan ia mengalir ke alur sungai.

Sehubungan itu, Tuan Ibrahim berkata, notis arahan di bawah Seksyen 31 dan 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dikeluarkan kepada kilang itu untuk melakukan kerja penyelenggaraan semua kolam rawatan sisa.

Kerja pembaikan dan penyelenggaraan itu, katanya, dipantau oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang yang dilaporkan turut menahan kelengkapan operasi kilang terbabit supaya aktiviti kilang tidak berjalan.

"Pihak kilang perlu mendapatkan pengesahan kelulusan JAS Pahang sebelum dibenarkan beroperasi semula," katanya.

Katanya, JAS Pahang sedang menyediakan kertas siasatan mengikut Seksyen 16(1) akta sama, jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM25,000 atau penjara maksimum dua tahun kedua-duanya, bagi setiap syarat lesen yang tidak dipatuhi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Julai 2021 @ 2:31 PM