Safeek Affendy Razali


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Air Selangor hari ini, memulakan siasatan berhubung insiden pencemaran bahan kimia di Sungai Semantan, Pahang.

Pencemaran yang menyebabkan 394 kawasan di wilayah Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual dipercayai berlaku akibat kemalangan lori yang disyaki membawa bahan tercemar, pagi semalam.

Pengarah Unit Kuatkuasa SPAN, Ainal Yusman Mohd Yusop berkata, pihaknya bersama JAS, Air Selangor dan dibantu Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) serta ANIH Berhad selaku pengendali Lebuhraya Karak, meninjau lokasi kemalangan di KM 75.9, Lebuhraya Karak-Bentong, hari ini.

"Pada peringkat awal, kami mulanya membuat jejakan di muka sauk Sungai Semantan untuk mengambil sampel air.

"Seterusnya kami menuju ke kawasan kemalangan untuk mengambil sampel air kedua untuk memastikan adakah bahan tercemar yang mengalir ke Loji Rawatan Air Langat 2 (LRA Langat 2) disebabkan bahan tercemar ini," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian kemalangan lori berkenaan di sini, hari ini.

Katanya, setakat ini tiada sebarang punca dapat disahkan sehinggalah sampel air berkenaan dihantar ke Jabatan Kimia.

"Adalah terlalu awal untuk mendapatkan punca berlakunya kejadian air tercemar di LRA Langat 2 sama ada disebabkan kemalangan lori yang berlaku semalam (Rabu) atau faktor lain.

"JAS akan menyerahkan sampel itu kepada Jabatan Kimia untuk dianalisis dan dikaji sebelum keputusannya diketahui dalam masa selewat-lewatnya antara dua minggu hingga sebulan," katanya.

Kejadian pencemaran yang berlaku itu menyebabkan sebanyak 394 kawasan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula jam 10 pagi, hari ini.

Menurut Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan berkata, gangguan bekalan air tidak berjadual itu adalah susulan henti tugas sementara LLRA Langat 2 pada jam 4.30 pagi tadi.

Tinjauan lebuh raya berkenaan, mendapati kerja-kerja pembersihan di saliran air di lokasi berkenaan yang menuju ke Sungai Semantan bermula petang ini.

Sungai Semantan.
Sungai Semantan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2022 @ 4:17 PM