DADAH yang dirampas polis dari seorang duda dipercayai tokan dadah. FOTO Ihsan Polis.
DADAH yang dirampas polis dari seorang duda dipercayai tokan dadah. FOTO Ihsan Polis.
Nuraliawati Sabri


Melaka: Malang buat seorang duda dipercayai tokan dadah apabila dicekup polis kerana didapati memiliki barang terlarang itu selepas mendapat rawatan Hospital Alor Gajah, di sini, akibat kemalangan jalan raya, Jumaat lalu.

Lelaki berusia 43 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Alor Gajah kira-kira jam 10.30 malam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, pihaknya menerima barang kes iaitu dadah daripada seorang doktor dari Hospital Alor Gajah, pada 4.30 petang hari sama.

Beliau berkata, daripada laporan diperoleh menyatakan dadah itu ditemui di dalam beg pinggang dipakai pesakit yang dirawat di Zon Kuning.

Beliau berkata, suspek sebelum itu dirawat kerana terbabit kemalangan selepas motosikal ditunggangnya terbabas sendiri di Brisu, selain dipercayai ketika kejadian dia di bawah pengaruh dadah.

"Sebaik suspek selesai menerima rawatan dia kemudian ditahan dan dibawa ke lokap untuk siasatan lanjut.

"Pemeriksaan dijalankan kemudian menemui 15 paket dadah dipercayai heroin dan lima plastik lutsinar disyaki syabu dan sembilan biji pil Eramin 5 serta botol kaca alat untuk menghisap syabu," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, kesemua dadah itu dianggarkan berjumlah RM5, 000 selain ujian saringan air kencing dijalankan turut mendapati dia positif morfin.

"Semakan dilakukan juga mendapati suspek yang tidak bekerja itu mempunyai tujuh rekod lampau membabitkan kesalahan dadah.

"Dia kini direman selama tujuh hari sehingga 16 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) akta sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Julai 2021 @ 9:08 PM