SEBAHAGIAN penagih dadah yang ditahan dalam operasi di sekitar Alor Gajah, semalam. FOTO ihsan polis
SEBAHAGIAN penagih dadah yang ditahan dalam operasi di sekitar Alor Gajah, semalam. FOTO ihsan polis
Nuraliawati Sabri


Melaka: Seramai 53 individu termasuk tiga wanita ditahan selepas dipercayai terbabit dalam penyalahgunaan dadah melalui Ops Sarang/ Tapis di sekitar Alor Gajah, semalam.

Operasi lebih 14 jam berakhir pada 4.30 petang itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, IPD Melaka Tengah dan IPD Jasin.

Ketua JSJN negeri, Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, sepanjang operasi membabitkan 87 anggota termasuk pegawai itu, sebanyak 49 serbuan dilakukan di kawasan dikenal pasti menjadi sarang penagihan.

"Hasilnya seramai 53 ditahan membabitkan mereka yang berusia antara 18 hingga 41 tahun manakala tangkapan wanita berusia 21, 26 dan 28 tahun.

"Turut ditahan seorang lelaki dipercayai tokan dadah dan polis turut merampas sejumlah dadah dipercayai syabu dan heroin dianggarkan lebih 50 gram," katanya.

Beliau berkata, keseluruhan dadah dirampas pihaknya dianggarkan lebih 65 gram dengan nilai RM4,049.

Menurutnya, tangkapan terbanyak membabitkan kes ujian air kencing iaitu 36 orang diikuti memiliki dadah (14) dan dua tangkapan membabitkan individu dikehendaki serta satu tangkapan atas kesalahan bekalan.

"Mereka yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12(3) dan Seksyen 15(1) akta sama.

"Kami akan terus mempergiatkan usaha membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah di negeri ini dan kerjasama orang awam dialu-alukan untuk memberikan maklumat supaya tindakan segera dapat diambil," katanya.

Sementara itu, Zulkiflee berkata, sebanyak 13 saman turut dikeluarkan Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Alor Gajah membabitkan kesalahan trafik.

Beliau berkata, pemeriksaan dijalankan turut mendapati lelaki dipercayai tokan dadah itu mempunyai enam saman waran tangkap yang belum dijelaskan serta satu saman biasa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 April 2021 @ 11:44 AM