KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri Superintendan Zulkiflee Rashid menunjukkan dadah yang dirampas dalam serbuan di Taman Seri Bayu, Alor Gajah pada Khamis.  FOTO IHSAN POLIS
KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri Superintendan Zulkiflee Rashid menunjukkan dadah yang dirampas dalam serbuan di Taman Seri Bayu, Alor Gajah pada Khamis. FOTO IHSAN POLIS
Nuraliawati Sabri


Melaka: Tiga individu termasuk cucu dan nenek yang dipercayai terbabit dalam sindiket pengedaran dadah ditahan polis dalam dua serbuan berasingan di Taman Seri Bayu, Alor Gajah, Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, serbuan bermula dari jam 6 pagi itu dilakukan sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah.

Beliau berkata, kesemua yang ditahan berusia antara 21 hingga 65 tahun dan polis turut merampas dadah seberat hampir tiga kilogram.

"Dalam serbuan pertama pada jam 6 pagi, polis menahan seorang lelaki berusia 31 tahun dan merampas enam paket plastik lutsinar dipercayai heroin dianggarkan lebih 500 gram dan 18 paket dadah disyaki syabu lebih dua kilogram.

"Kesemua dadah itu yang beratnya hampir tiga kilogram dianggarkan bernilai RM86,000 dan dipercayai boleh digunakan oleh 6,200 penagih," katanya.

Beliau berkata, susulan itu, pihaknya kemudian ke sebuah lagi rumah di taman sama pada jam 6.45 pagi dan menahan dua suspek.

"Di lokasi kedua, polis menahan seorang lelaki berusia 21 tahun dan neneknya berusia 65 tahun dipercayai mempunyai kaitan dengan suspek pertama," katanya.

Zulkiflee berkata, dadah yang dirampas itu dipercayai untuk kegunaan penagih di negeri ini.

"Semua suspek lelaki mempunyai rekod lampau bersabit dadah dan jenayah manakala warga emas itu pula terdapat dua rekod dadah.

"Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek pertama positif dadah jenis methamphetamine," katanya.

Menurutnya, tindakan turut diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Perlucutan Harta) 1988 terhadap kesemua suspek dengan nilai sitaan berjumlah lebih RM24,782 membabitkan motosikal, kereta serta barangan kemas.

"Kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga 5 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Ogos 2021 @ 4:54 PM