Wakil YEZP menyerahkan bantuan kepada asnaf (kiri) dan barangan keperluan harian yang diagihkan (kanan). FOTO ihsan YEZP
Wakil YEZP menyerahkan bantuan kepada asnaf (kiri) dan barangan keperluan harian yang diagihkan (kanan). FOTO ihsan YEZP
Murnaena Muhammad Nasir


Kuala Lumpur: Yayasan EZ Prihatin (YEZP) menerima 1,000 permohonan bagi tempoh seminggu daripada mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Pengerusi YEZP Muhammad Syariffuddin Supeni berkata, dana yang terkumpul ketika ini sudah semakin susut dan berharap individu atau badan korporat menyokong projek Pek Prihatin ini.

"Kesan pandemik Covid-19 menyebabkan golongan terjejas terutamanya mereka yang dibayar gaji hari. Ada banyak kes yang kami terima terputus bekalan makanan berikutan Perintah Kawalan Diperketatkan (PKPD) khususnya di Lembah Klang.

"Kami di YEZP sangat mengalu-alukan sumbangan dari badan-badan korporat dan individu yang prihatin untuk meneruskan bantuan kebajikan kepada golongan yang sangat-sangat memerlukan saat ini," katanya.

Untuk rekod, Projek Pek Prihatin diperkenalkan YEZP membantu golongan yang memerlukan terutamanya asnaf.

Dengan misi untuk menjadi sahabat asnaf, projek ini dipergiatkan lagi dengan kerjasama beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan wakil penduduk.

Antara NGO yang terbabit seperti Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia Wilayah Persekutuan (Mapim), Gerakwanis, Perkim dan beberapa persatuan penduduk terutama yang membabitkan persatuan asnaf, ibu tunggal dan mualaf.

Projek dimulakan dengan agihan pek makanan keperluan seperti beras, telur, tepung, minyak, sardin, gula dan beberapa barangan keperluan rumah seisi keluarga.

Keperluan untuk bayi dan anak kecil khususnya susu juga turut menjadi keutamaan.

Sebanyak 1,000 pek makanan disumbangkan EZ Qurban sejak bermula PKPD di Selangor minggu lalu dan merancang untuk membuat agihan daging-daging korban kepada golongan sasaran yang akan dilaksanakan menjelang Aidiladha nanti dalam Program Titipan Kasih Korban Harian Metro-EZ Qurban bersama Yayasan EZ Prihatin.

Mereka yang ingin menghulurkan sumbangan, boleh salurkan ke akaun Yayasan EZ Prihatin (Maybank: 562405633644) atau hubungi 018-9717624 atau layari www.yayasanezprihatin.org.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Julai 2021 @ 3:09 PM