Muhammad Hafeez (dua dari kanan) menyerahkan SOP program kepada Pengurus Besar Saujana Agro Trading, Mohd Zukhairy Mohamad Zamahsari di Sungai Buloh hari ini.
Muhammad Hafeez (dua dari kanan) menyerahkan SOP program kepada Pengurus Besar Saujana Agro Trading, Mohd Zukhairy Mohamad Zamahsari di Sungai Buloh hari ini.
Yusmizal Dolah Aling


Sungai Buloh: Bersempena hari raya Aidiladha tidak lama lagi, EZ Qurban Sdn Bhd dengan kerjasama Yayasan EZ Prihatin melancarkan Program Korban Malaysia bagi memberi peluang kepada umat Islam melaksanakan ibadah korban di dalam negara.

Program yang masuk tahun ketiga itu mensasarkan 600 lembu berbanding 497 lembu tahun lalu.

Ketua Pegawai Operasi EZ Qurban, Muhammad Hafeez Firdaus Toharudin berkata, program berkenaan akan memberi manfaat kepada lebih 50,000 penerima yang terdiri daripada asnaf, fakir miskin dan golongan memerlukan.

"Tahun ini bila kita lihat suasana korban sudah mula dibuka, kita mengehadkan beberapa lokasi untuk melaksanakan ibadah korban supaya lebih mudah untuk membuat pemantauan.

"Ini kerana kita menerima pengiktirafan untuk prosedur pengurusan korban dan akikah berasaskan pematuhan syariah dan kami ketatkan beberapa perkara sebagai jaminan sembelihan korban yang diadakan lebih sempurna," katanya ketika meninjau persiapan di Saujana Agro Trading di sini, hari ini.

Program Korban Malaysia yang dilaksanakan pada tahun ini akan diuruskan oleh Yayasan EZ Prihatin mengikut standard piawaian ISO dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Katanya tarikh tutup program berkenaan adalah pada sehari sebelum Aidiladha bagi memberi peluang kepada seramai mungkin untuk mendaftar.

"Kita faham sebelum ini ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ramai yang tidak berkesempatan untuk menyertai korban, jadi tahun ini kita alu-alukan penyertaan daripada orang ramai.

"Perancangan lebih teliti dibuat pada tahun ini iaitu jumlah sasaran melebihi tahun lalu. Kebiasaannya rakyat Malaysia akan mendaftar pada saat-saat akhir dan kita bersedia," katanya.

Menurutnya, selain Yayasan EZ Prihatin, pihaknya turut bersama dengan badan bukan kerajaan tempatan serta majlis daerah dalam program terbabit.

Katanya, pihaknya akan memastikan SOP dilaksanakan sebaik mungkin bagi melancarkan program dan memudahkan urusan peserta, penerima dan masyarakat setempat.

Tahun ini, Korban Malaysia dibuka pada harga RM750 untuk satu bahagian lembu, seekor lembu RM5,250 dan kambing pada harga RM1,199 seekor.

Orang ramai yang berminat untuk menyertai boleh menghubungi EZ Qurban di talian 1-800-885-885 atau boleh kunjungi laman web di www.ezqurban.org.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Jun 2022 @ 3:17 PM