WAKIL EZ Qurban di Semporna, Sabah membawa lembu dari Tawau dengan menaiki bot.
WAKIL EZ Qurban di Semporna, Sabah membawa lembu dari Tawau dengan menaiki bot.
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Sebanyak 491 lembu dan 118 kambing ditempah bagi Program Titipan Kasih Korban Harian Metro bersama Ez Qurban selepas penyertaannya ditutup pada 2 petang semalam.

Biarpun sasaran awal hanya menetapkan sebanyak 300 lembu dan 100 kambing, namun penyertaan bagi korban lokal itu amat menggalakkan sejak dilancarkan pada 2 Julai lalu.

Ketua Pegawai Operasi EZ Qurban Muhammad Hafeez Firdaus Toharudin berkata, program tahun kedua yang dilaksanakan dalam pandemik itu tetap mendapat sambutan melihat kepada peningkatan jumlah penyertaan.

"Haiwan korban akan diagihkan oleh jawatankuasa pelaksana Yayasan EZ Prihatin (YEZP) bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan wakil masyarakat kepada asnaf, ibu tunggal, mualaf serta individu yang terkesan akibat pandemik.

"Sebanyak 11 negeri yang terbabit iaitu Selangor, Perak, Johor, Kuala Lumpur, Kedah, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Kelantan, Terengganu dan Sabah," katanya.

Mengulas lanjut, Muhammad Hafeez berkata, walaupun program ibadah korban lokal sudah ditutup, namun program korban luar negara masih dibuka sehingga 21 Julai ini.

Menurutnya, orang ramai yang berminat untuk menyertai boleh menghubungi talian 03-61861911 atau layari www.ezqurban.org untuk maklumat lanjut.

Pada 2 Julai lalu, Harian Metro dengan kerjasama EZ Qurban melancarkan program korban sempena Aidiladha dalam norma baharu bagi membantu golongan memerlukan.

Usahasama melalui Titipan Kasih Korban Harian Metro termeterai di Balai Berita The New Straits Times Press (NSTP), di sini, dalam majlis ringkas, simbolik dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) antara kedua-dua pihak termasuk Yayasan EZ Prihatin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Julai 2021 @ 9:22 PM