Penerima agihan daging korban melalui Program Korban Lokal. FOTO ihsan pembaca
Penerima agihan daging korban melalui Program Korban Lokal. FOTO ihsan pembaca
Murnaena Muhammad Nasir


Kuala Lumpur: Seramai 26,000 individu menerima manfaat daripada penganjuran Program Titipan Kasih Korban Harian Metro bersama EZ Qurban dengan usahasama Yayasan EZ Prihatin (YEZP) tahun ini.

Pengurus Projek YEZP, Muhammad Luqman Hakim berkata, perolehan data terkini itu termasuk seluruh negeri pelaksanaan Korban Lokal yang sudah menghantar laporan penuh agihan di tempat yang diamanahkan.

"Kami mempunyai bilangan kakitangan terhad untuk pelaksanaan di negeri terbabit. Terima kasih kepada rakan badan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk tempatan yang menjadi sukarelawan petugas YEZP bagi mempermudahkan kerja-kerja dalam proses pelaksanan ibadah korban," katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, sebahagian penerima daging agihan turut menerima 1,000 Pek Prihatin yang dilakukan di beberapa lokasi terpilih.

"Pada hujung minggu lalu YEZP turut mengagihkan kepada 400 penerima agihan daging korban dan pek prihatin berupa barangan keperluan harian di ibu pejabat EZ Qurban di Batu Caves Centrepoint, Gombak.

"Kami menghubungi urus setia terlebih dahulu sebelum mengagihkan kepada penerima bagi mengelakkan kekeliruan sekali gus memastikan prosedur operasi standard (SOP) dapat dipatuhi dalam fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Selangor ini," katanya.

Untuk rekod, sebanyak 495 lembu dan 119 kambing dikorbankan bagi ibadah korban di dalam negara pada tahun ini.

Dalam perkembangan sama, seramai 455,000 saudara Islam di 35 negara turut menerima manfaat menerusi Program Korban Global 2021.

"Bagi perolehan data ini masih dalam fasa perincian laporan dari wakil-wakil dari luar negara.

"Kami sedang giat mengumpul laporan korban dan perkembangan program korban boleh diikuti di media sosial kami di Facebook dan Instagram EZ Qurban Sdn Bhd," katanya.

Agihan Pek Prihatin di Ibu Pejabay EZ Qurban di Batu Caves. FOTO ihsan pembaca
Agihan Pek Prihatin di Ibu Pejabay EZ Qurban di Batu Caves. FOTO ihsan pembaca

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Julai 2021 @ 6:07 PM