ANTARA barangan yang dirampas susulan penahanan empat lelaki warga tempatan di sebuah premis di Butterworth.  FOTO Ihsan PDRM
ANTARA barangan yang dirampas susulan penahanan empat lelaki warga tempatan di sebuah premis di Butterworth. FOTO Ihsan PDRM
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Lagi sindiket memberi pinjaman wang tanpa lesen atau along dibongkar selepas polis menahan empat lelaki warga tempatan di sebuah premis di Butterworth, di sini, kelmarin.

Kegiatan suspek berusia antara 21 hingga 22 tahun itu dikesan selepas seorang lelaki yang juga mangsa warga tempatan membuat laporan polis berhubung gangguan ahli sindiket terbabit.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pulau Pinang Asisten Komisioner Mohd Rosni Mohd Lazim berkata, mangsa mendakwa meminjam wang sebanyak RM700 daripada along berkenaan dan sudah melunaskan pinjaman melebihi jumlah yang dipinjam.

Namun, katanya, suspek masih mengarahkan mangsa bagi membuat bayaran dengan kadar bunga yang tinggi selain mengugut membaling cat serta menculik ahli keluarga mangsa jika gagal membuat bayaran.

"Susulan laporan mangsa, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis (IPD) Seberang Perai Utara (SPU) membuat serbuan di sebuah premis sekitar Butterworth dan menahan empat suspek terbabit.

"Polis turut merampas 10 telefon bimbit, dua kad bank, dua kereta dan wang tunai berjumlah RM 3,375," katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Rosni berkata, siasatan awal mendapati sindiket yang sudah beroperasi selama setahun di Pulau Pinang itu menggunakan premis yang disewa bagi menjalankan kegiatan.

Katanya, kesemua suspek menerima upah atau gaji antara RM2,000 hingga RM3,500 sebulan bagi menjalankan aktiviti pinjaman berkenaan.

"Sindiket ini menggunakan aplikasi Whatapps bagi mengiklankan tawaran dan berhubung dengan mangsa untuk menawarkan pinjaman wang selain membuat ugutan sehingga mendatangkan ketakutan terhadap mangsa.

"Suspek sindiket menyasarkan warga tempatan sekitar Perak, Pulau Pinang dan Kedah namun siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti sekiranya ada mangsa dari negeri lain.

"Seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau mengikut Akta Rumah Judi Terbuka manakala tiga lagi tiada rekod lampau, " katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400) yang mana hukuman bagi kesalahan itu adalah denda antara RM 250,000 hingga RM1 juta atau penjara selama lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mac 2021 @ 10:48 AM