Amir Abd Hamid dan Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Bantuan khas kewangan bagi kesan mudarat vaksin Covid-19 masih belum lagi digunakan setakat ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, setakat ini 18.6 respon kendiri daripada 1,000 dos suntikan vaksin Covid-19 mengalami kesan sampingan ringan.

Menurutnya, antara kesan sampingan ringan seperti sakit di tempat suntikan dan sakit kepala tidak serius.

Katanya, sebanyak 0.07 daripada 1,000 kes diklasifikasikan sebagai serius dan memerlukan rawatan di hospital.

"Kebanyakan mereka hanya masuk ke hospital untuk menerima rawatan dan pemantauan doktor jangka masa pendek.

"Setakat ini masih belum ada penerima bantuan kewangan khas ekoran kesan mudarat vaksin Covid-19," katanya dalam sidang media mingguan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) secara maya, hari ini.

Hadir sama Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin.

FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.

Sebelum ini, kerajaan bersetuju memperuntukkan bantuan khas kewangan bagi kesan mudarat vaksin Covid-19 untuk rakyat tempatan dan warga asing berjumlah RM10 juta.

Ia membabitkan dua kategori bantuan iaitu RM50,000 bagi penerima yang mengalami kesan sampingan serius dan memerlukan rawatan berpanjangan di hospital dan RM500,000 jika berlaku hilang upaya kekal atau kematian disebabkan oleh vaksin Covid-19.

Dalam perkembangan lain, Dr Adham berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terus memberi tumpuan kepada penularan varian baharu yang lebih cepat merebak.

Katanya, jujukan genom akan dilaksanakan khususnya di kawasan yang merekodkan kadar kes positif dan kematian yang tinggi.

"Sehingga kini 584 kes positif Covid-19 disebabkan pelbagai varian direkodkan di Malaysia dan pemantauan lanjut akan terus dijalankan KKM," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Julai 2021 @ 4:11 PM