DATUK Rizam Ismail pada sidang media selepas Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Selangor Ke-14 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, Shah Alam. FOTO Faiz Anuar
DATUK Rizam Ismail pada sidang media selepas Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Selangor Ke-14 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, Shah Alam. FOTO Faiz Anuar
BERNAMA

Shah Alam: Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor mencadangkan kerajaan negeri menyediakan rumah transit bagi menempatkan mereka yang kehilangan sumber pendapatan susulan pandemik Covid-19.

Ketua Pembangkang DUN Selangor Datuk Rizam Ismail (BN- Sungai Air Tawar) berkata, ia kerana situasi pandemik ketika ini menyebabkan ramai rakyat di Selangor khususnya menghadapi krisis ekonomi sehingga menjadi gelandangan kerana tidak lagi mampu membiayai pinjaman peribadi, perumahan dan kenderaan.

"Atas sebab itu saya mencadangkan kerajaan negeri menyediakan rumah transit kepada mereka agar tidak menjadi gelandangan sehingga mereka mendapat semula pekerjaan dan mencari kediaman," katanya pada persidangan DUN Selangor di sini, tadi.

Dalam pada itu beliau turut bertanya kepada kerajaan negeri sama ada Selangor ada memperuntukkan sebarang jaminan pampasan sekiranya berlaku sebarang komplikasi akibat suntikan vaksin COVID-19 di bawah program Program Vaksin Selangor (SelVAX) kepada penerima vaksin.

Beliau berkata, ini kerana kerajaan persekutuan ada memperuntukkan bantuan khas kewangan kesan mudarat vaksin covid-19 kepada mereka yang mengalami komplikasi akibat covid-19.

"Jadi saya ingin bertanya kepada kerajaan negeri, jika berlaku sebarang komplikasi akibat suntikan vaksin COVID-19 (dibawah) SelVAX, adakah mereka mendapat jaminan pampasan sama seperti kerajaan persekutuan," tanya beliau.

Pada 22 Mac lalu, kerajaan memperuntukkan dana permulaan sebanyak RM10 juta bagi bantuan khas kewangan kesan mudarat vaksin Covid-19 untuk rakyat Malaysia dan warga asing yang mendapat kesan sampingan serius setelah menerima vaksin di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Bantuan khas itu dibahagi kepada dua kategori iaitu bantuan khas RM50,000 sekiranya berlaku kesan sampingan serius sehingga memerlukan rawatan berpanjangan di hospital dan RM500,000 jika berlaku hilang upaya kekal atau kematian disebabkan oleh vaksin COVID-19.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Ogos 2021 @ 6:44 PM