BERNAMA

Pasir Puteh: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga mengesan taktik terbaharu penyeludup rokok yang menggunakan bot dua enjin yang boleh memecut lebih laju bagi membawa masuk rokok dari negara jiran.

Komander PPM Wilayah Tiga Asisten Komisioner Norzaid Muhammad Said berkata, hasil siasatan turut mendapati kegiatan penyeludupan itu didalangi penduduk tempatan.

Beliau berkata, berdasarkan modus operandi, kumpulan penyeludup akan memilih kawasan pesisir pantai yang selamat untuk pendaratan barangan seludup sebelum dipunggah ke dalam pacuan empat roda atau lori yang sudah sedia menunggu di lokasi yang ditetapkan oleh tekong darat.

"Dalam kejadian terbaharu 6 pagi tadi, sebanyak 350 karton rokok putih bernilai RM52,500 berjaya dirampas oleh PPM Tok Bali dalam Op Benteng Laut di Kampung Pachakan, Pasir Puteh.

"Pasukan yang melakukan rondaan menggunakan bot PSC27 ternampak kelibat sebuah pacuan empat roda. Selepas menyedari kehadiran anggota PPM, pemandu kenderaan itu terus memecut laju di jalan pantai untuk meloloskan diri," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, pemeriksaan di kawasan itu menemui sejumlah tujuh kotak besar mengandungi keseluruhannya sebanyak 70,000 batang rokok putih yang dibalut dengan plastik hitam.

"Kesemua barangan rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh untuk tindakan lanjut.

"Kita percaya akan ada cubaan seumpama ini lagi oleh kumpulan penyeludup demi mengaut keuntungan besar dalam penjualan rokok seludup," katanya.

Katanya, pihaknya akan melipatgandakan penugasan dan pemeriksaan bagi memastikan keselamatan perairan Pantai Timur berada pada tahap terbaik dalam usaha membendung aktiviti penyeludup rokok rentas sempadan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Julai 2021 @ 4:40 PM