ANGGOTA PPM menunjukkan rokok seludup yang dirampas.
ANGGOTA PPM menunjukkan rokok seludup yang dirampas.
Oleh Isma Ismail

Johor Bahru: Sekumpulan lelaki yang mahu mengambil rokok seludup untuk dipasarkan tidak berjaya apabila kegiatan mereka dikesan sepasukan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) di Pantai Padang Lima, Kuala Sedili Kecil, Kota Tinggi, tengah malam semalam.

Beberapa lelaki tidak sempat memunggah bungkusan rokok yang ditinggalkan di pesisir pantai berkenaan sebelum melarikan diri menggunakan kenderaan pacuan empat roda jam 12.30 tengah malam.

Komander PPM Wilayah Dua Johor Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, serbuan dijalankan selepas pihaknya menerima maklumat mengenai kegiatan itu di kawasan terbabit.

“Sepasukan tujuh pegawai dan anggota yang menerima maklumat menjalankan Ops Landai di kawasan pesisir pantai Ladang Mados hingga ke Kuala Sedili Kecil.

“Pasukan operasi kemudiannya berpecah menyusuri hutan dan pesisir pantai bagi menjejaki kumpulan penyeludup di kawasan berkenaan.

“Setibanya di lokasi, anggota operasi mengesan sekumpulan orang dan pacuan empat roda dalam keadaan mencurigakan,” katanya.

Menurutnya, pasukan berkenaan menyerbu kumpulan berkenaan, tetapi mereka yang terkejut dengan kehadiran anggota PPM melarikan diri menggunakan pacuan empat roda terbabit.

Katanya, kenderaan itu didapati memecut menuju ke Sedili Kecil dan kami cuba mengejarnya, tetapi gagal.

“Pemeriksaan di pantai kemudiannya menjumpai beberapa bungkusan dalam plastik hitam berisi kotak rokok dipercayai cuba diseludup masuk untuk pasaran tempatan.

“Pemeriksaan mendapati ada 17,000 bungkus rokok putih dan 5,000 rokok kretek dalam bungkusan plastik hitam terbabit,” katanya.

Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan termasuk duti import, duti eksais dan cukai jualan dianggarkan RM218,020.

Katanya, rampas itu dibuat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana menyeludup barangan bercukai.

“Kami serahkan barang rampasan ini kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

“Rampasan ini yang keempat dibuat PPM Wilayah Dua Johor tahun ini membabitkan nilai keseluruhan rampasan RM264,926.96.

“Pada tahun lalu, 18 kes rampas rokok dicatatkan pihak kami dengan nilai rampasan RM5,581,141.11,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Februari 2015 @ 7:38 AM