Suspek bersama minuman keras tidak bercukai yang dirampas melalui Op Kontraban oleh PGA Sabah. FOTO Ihsan PGA
Suspek bersama minuman keras tidak bercukai yang dirampas melalui Op Kontraban oleh PGA Sabah. FOTO Ihsan PGA
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Sindiket penjualan minuman keras tidak bercukai menjadikan premis makanan yang ditutup sebagai stor penyimpanan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Bagaimanapun, taktik berkenaan berjaya dikesan Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah yang merampas 457 karton minuman keras dalam operasi Op Kontraban di pekan Tamparuli, semalam.

Dalam operasi jam 1.40 petang itu, pasukan PGA yang bertindak atas maklumat awam turut berjaya menahan seorang lelaki berusia 25 tahun bagi membantu siasatan lanjut.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, hasil tangkapan awal berkenaan, pihaknya berjaya menemukan 54 karton minuman keras yang disimpan di dalam sebuah van dipandu suspek.

Katanya, pihaknya kemudian menemukan 123 karton pelbagai jenis minuman keras yang disembunyikan di sebuah restoran selepas ditunjuk arah oleh suspek terbabit.

"Selanjutnya suspek membawa anggota PGA ke sebuah lagi kedai yang menyimpan 280 karton minuman keras.

"Suspek terbabit bersama barangan rampasan kemudiannya diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran, untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.

Mohd Abduh berkata, rampasan membabitkan nilai keseluruhan sebanyak RM100,847 berdasarkan harga pasaran semasa.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Jun 2021 @ 12:38 PM