Dua suspek bersama lori muatan minuman keras seludup yang dirampas pasukan PGA Sabah. FOTO Ihsan PGA
Dua suspek bersama lori muatan minuman keras seludup yang dirampas pasukan PGA Sabah. FOTO Ihsan PGA
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah merampas minuman keras tanpa cukai bernilai RM471,377 dalam serbuan di sebuah gudang di Jalan Tuaran Lama, Inanam di sini, tengah malam tadi.

Serbuan jam 12.30 tengah malam itu dilakukan pasukan operasi 'Op Kontraban' dari Task Force Perisikan Ibu Pejabat Briged Sabah serta Tiger Platoon Batalion 16 PGA bertindak atas maklumat risikan melakukan pemantauan di hadapan gudang berkenaan.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, dua lelaki turut ditahan selepas berlaku pergelutan dengan pasukan polis.

"Pemeriksaan lanjut kemudiannya menemui minuman keras dipercayai diseludup di dalam dua lori yang berada di lokasi serbuan.

"Selain itu, polis turut merampas wang tunai RM17,610 dipercayai hasil jualan minuman keras berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Abduh berkata, semua barang rampasan termasuk kedua-dua suspek kemudiannya di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan selanjutnya.

"Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 135 (1)(D) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 ganda nilai atau RM100,000 (yang mana lebih tinggi) sehingga tidak lebih daripada 20 ganda nilai suapan atau RM500,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Ogos 2021 @ 1:39 PM