MANGSA. FOTO Ihsan PDRM
MANGSA. FOTO Ihsan PDRM
Mohamed Farid Noh


Iskandar Puteri: Seorang pembantu kedai perabot parah selepas ditetak rakannya, berikutan bercakap terlalu kuat ketika sedang berbual menerusi telefon di Taman Nusa Bestari di sini, semalam.

Dalam kejadian 5.15 petang itu, mangsa yang berusia 37 tahun parah dengan tiga kesan tetakan parang.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian berikutan laporan pergaduhan antara dua lelaki di sebuah premis penginapan bilik sewa di taman berkenaan.

"Setibanya di tingkat tiga lokasi bilik sewa berkenaan, polis mendapati seorang individu berlumuran darah di kepalanya.

"Siasatan awal mendapati, mangsa ditetak rakan sebiliknya sendiri dengan tiga kesan tetakan di kepalanya.

"Ia berikutan tindakan mangsa yang enggan menerima teguran suspek untuk memperlahankan suara ketika sedang bercakap menerusi telefon di biliknya, sebaliknya mangsa memarahi suspek dengan kata-kata kesat.

"Apabila mangsa keluar dari biliknya, suspek yang tidak berpuas hati, mendekati mangsa sebelum mengeluarkan parang dari dalam seluarnya dan terus menetaknya di bahagian kepala sebanyak tiga kali.

"Mangsa yang ketakutan kemudian melarikan diri dan turun ke tingkat bawah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dzulkhairi berkata, hasil siasatan mendapati mangsa mempunyai 15 rekod lampau berkaitan dadah.

Katanya, mangsa kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru serta dalam keadaan stabil.

"Berpandukan maklumat awam dan saksi di tempat kejadian polis menahan seorang lelaki berumur 23 tahun yang dipercayai suspek di lokasi yang sama.

"Hasil siasatan mendapati suspek adalah seorang pekerja kilang dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

"Ujian saringan air kencing ke atas suspek dijalankan dengan keputusan negatif dan bebas daripada sebarang pengaruh dadah.

"Polis turut merampas sebilah parang panjang kira-kira 37.7 sentimeter yang ditemui di lokasi kejadian," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Suspek akan di bawa ke mahkamah Johor Bahru bagi proses tahanan reman.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Jun 2021 @ 8:33 AM