GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Petaling Jaya: Perkenalan dengan lelaki muda di aplikasi MiChat hanya mengundang derita buat wanita ini apabila dia diugut dan gambar bogelnya akan ditularkan jika terus mendesak berpisah.

Mangsa berusia 26 tahun berkenalan dengan lelaki itu, pada Mei lalu dan pernah bertemunya beberapa kali, sebelum mereka terlanjur.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, selepas beberapa minggu perkenalan, suspek yang berusia 23 tahun mengajak mangsa bertemu di sebuah hotel.

"Suspek didakwa mengajak mangsa melakukan perbuatan tidak elok dan mangsa tidak sedar suspek merakam perbuatan itu ketika mereka berada di hotel dan semasa berbual menerusi panggilan video.

"Baru-baru ini, mangsa memberitahu mahu memutuskan hubungan, namun suspek enggan dan pada 3.30 petang kelmarin, ketika sedang bekerja, mangsa menerima mesej WhatsApp daripada suspek yang menunjukkan gambar tidak senonohnya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, lelaki itu kemudian menghubungi mangsa dan mengugut akan menyebarkan gambar bogel terbabit kerana tidak mahu mereka berpisah.

Katanya, mangsa yang bimbang perkara tidak diingini berlaku kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Damansara untuk tindakan lanjut.

"Susulan laporan itu, polis mengesan suspek dan menahannya semalam. Dia direman empat hari sehingga 30 Jun ini untuk siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Jun 2021 @ 3:45 PM