Berang apabila mengetahui isterinya memfailkan permohonan perceraian di mahkamah syariah menyebabkan seorang suami ‘naik minyak’ dengan membelasah wanita berkenaan di kediaman mereka di Kuala Muda, di sini, Jumaat lalu.

Dalam kejadian jam 9.30 malam, lelaki berusia 50-an itu turut membelasah anak perempuannya berusia 20-an selepas menuduh anaknya menghasut ibunya yang berusia 51 tahun untuk berpisah.

Menurut sumber, suspek yang pulang ke rumah terus memaki hamun isterinya dan meminta dia memanggil anak mereka yang beradadi dalam bilik supaya keluar.

“Sebaik anak perempuannya keluar, suspek yang gagal mengawal kemarahan menumbuk muka, kepala dan badan mangsa. Tidak cukup dengan itu, dia turut menyerang isterinya dan memukul dua beranak itu selama beberapa minit,” katanya.

Katanya, kedua-dua mangsa merayu dilepaskan, namun tidak diendahkan suspek yang terus mengamuk dan memukul mereka.

“Selepas puas membelasah mereka, suspek mengarahkan mangsa menarik balik permohonan cerai itu, malah dia juga mengugut akan memukul mangsa lebih teruk jika membuat laporan polis,” katanya.

Menurutnya, suspek beredar tanpa mempedulikan mangsa yang lebam di muka dan badan sebelum wanita terbabit membuat laporan di Balai Polis Tanjung Dawai.

Jurucakap polis mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2015 @ 10:06 AM