Gajah denak Kasturi dan Rambai digunakan untuk membantu memindahkan gajah jantan di Kampung Simoi Lama FOTO Ihsan PKGK
Gajah denak Kasturi dan Rambai digunakan untuk membantu memindahkan gajah jantan di Kampung Simoi Lama FOTO Ihsan PKGK
Mohd Rafi Mamat


Lipis: Gajah jantan menyebabkan kematian dua Orang Asli di Kampung Simoi Lama, di sini, Disember dan Januari lalu dipindah dan dilepaskan ke habitat asal jauh daripada penempatan manusia dan mempunyai sumber makanan yang banyak, semalam.

Usaha memindahkan gajah dianggarkan berusia 44 tahun itu dilakukan 26 anggota Unit Tangkapan Gajah (UTG) Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah Lanchang dan kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang.

Haiwan berkenaan yang menghuni Hutan Simpan Ulu Jelai dipercayai antara kumpulan yang menceroboh kebun dan mengancam keselamatan masyarakat Orang Asli di beberapa penempatan penduduk setempat sebelum ini.

Ketua PKGK Kuala Gandah, Che Ku Mohd Zamzuri Chik Wan Ab Rahman berkata, haiwan seberat tiga tan itu ditangkap Selasa lalu, selepas pihaknya menerima aduan daripada penduduk setempat yang mendakwa haiwan terbabit masuk ke kawasan kebun mereka.

Katanya, gajah yang mempunyai terpisah daripada kumpulannya itu berada dalam keadaan sihat .

"Operasi bermula 9 pagi dan tamat empat jam kemudian, kita terpaksa menarik gajah terbabit kira-kira satu kilometer ke tempat menaiki lori dan perjalanan keluar pula melalui jalan balak sejauh lebih lapan kilometer.

"Dua gajah denak, Kasturi dan Rambai digunakan untuk memujuk dan menarik gajah liar berkenaan ke atas lori," katanya, di sini hari ini.

Che Ku Mohd Zamzuri berkata, operasi itu adalah yang ketiga dilakukan pihaknya di Pahang tahun ini, yang mana dua operasi sebelum ini dilakukan di Kampung Teruh, Karak.

"Operasi menangkap dan memindahkan gajah jantan itu dilakukan susulan kejadian serangan haiwan itu terhadap penduduk Orang Asli di Pos Betau dan Pos Senderut sebelum ini yang mengorbankan dua nyawa.

"Usaha menangkap dan memindahkan haiwan terbabit akan terus dilakukan secara berperingkat sekiranya kumpulan gajah berkenaan terus mengancam keselamatan penduduk Orang Asli yang sebelum ini sentiasa berada dalam kebimbangan sejak akhir tahun lalu," katanya.

Kejadian pertama serangan gajah berlaku 7 Disember lalu hingga meragut nyawa seorang wanita Orang Asli di Kampung Simoi Baru.

Kejadian kedua pula berlaku pada 9 Januari lalu menyebabkan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun maut akibat dipijak gajah liar di Kampung Tual, Pos Senderut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Februari 2023 @ 9:18 AM