FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Sekumpulan 14 individu yang asyik berparti di sebuah banglo di Taman Perling, di sini, tidak menyangka aktiviti mereka dihidu polis pada 2.30 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid berkata, ia termasuk tujuh wanita dan tujuh lelaki warga tempatan berusia antara 20 hingga 41 tahun.

Beliau berkata, ketika pasukan polis memasuki premis, didapati sekumpulan individu berkenaan memasang muzik dengan kuat dan sedang berhibur di ruang tamu.

Menurutnya, pihaknya menemukan hidangan minuman keras selain beberapa jenis dadah termasuk ganja, ketamin dan ekstasi di rumah berkenaan.

"Siasatan mendapati rumah banglo itu disewa khas dengan bayaran RM2,000 sehari oleh seorang lelaki yang bertindak sebagai penganjur parti persendirian itu.

"Hasil ujian air kencing mendapati lima lelaki termasuk penganjur majlis berusia 41 tahun positif dadah jenis methamphetamine," katanya.

Rupiah berkata, majlis berkenaan didapati berlangsung sejak 10 malam dan polis merampas semua perkakasan muzik elektronik digunakan untuk hiburan.

Beliau berkata, kompaun RM2,000 dikenakan terhadap penganjur majlis manakala pengunjung dikenakan kompaun RM1,500 setiap seorang kerana ingkar Prosedur Operasi Standard (SOP) Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menurutnya, Mahkamah Majistret Johor Bahru membenarkan penahanan reman kepada 14 individu selama empat hari bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan yang jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

"Bagi kesalahan dadah, kes disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi lima tahun dan tidak kurang tiga sebatan dan tidak melebihi sembilan sebatan.

"Kes turut disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabit kesalahan boleh didenda RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

"Manakala kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(a) memperuntukkan denda sehingga RM5,000 atau hukuman penjara sehingga dua tahun sekiranya disabit kesalahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 September 2021 @ 12:09 AM