Polis menyoal siasat individu yang didapati menjalani latihan silat di sebuah rumah di Bandar Utama, Petaling Jaya tengah malam tadi. Foto Ihsan PDRM
Polis menyoal siasat individu yang didapati menjalani latihan silat di sebuah rumah di Bandar Utama, Petaling Jaya tengah malam tadi. Foto Ihsan PDRM
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Petaling Jaya: Tujuh lelaki dan tuan rumah yang menjalani latihan silat di sebuah rumah di Bandar Utama di sini, tengah malam tadi dikompaun kerana tidak mematuhi peraturan prosedur operasi standard (SOP).

Dalam pemeriksaan pada 12.10 tengah malam itu, sepasukan polis memeriksa kediaman terbabit selepas menerima aduan awam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudi Abdul Hamid berkata, ketika pemeriksaan dilakukan terdapat sekumpulan individu sedang menjalani latihan silat.

"Mereka didapati tidak mematuhi SOP yang ditetapkan Majlis Keselamaran Negara (MKN) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

"Polis mengeluarkan kompaun RM10,000 kepada tuan rumah terbabit dan RM2,000 kepada setiap individu berusia 26 hingga 51 tahun," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, tindakan diambil mengikut Peraturan 17(1) Akta Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDPPB) 2021.

"Masyarakat diminta untuk mematuhi SOP yang ditetapkan bagi mengelakkan daripada dikompaun, ditangkap dan seterusnya didakwa di mahkamah mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Jun 2021 @ 3:12 PM