ANGGOTA polis membuat pemeriksaan di Kilometer 17 Genting Highlands. FOTO Ihsan PDRM
ANGGOTA polis membuat pemeriksaan di Kilometer 17 Genting Highlands. FOTO Ihsan PDRM
Roselan Ab Malek

Bentong: Tindakan 12 individu merentas negeri dari Kuala Lumpur ke Genting Highlands di sini, tanpa permit sah membawa padah apabila mereka dikompaun RM5,000 setiap seorang.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, mereka terdiri daripada 10 lelaki dan dua wanita berusia antara 20 hingga 58 tahun ditahan di Kilometer 17 Genting Highlands, semalam.

"Mereka gagal mengemukakan permit kebenaran rentas negeri yang sah dari Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Kesemua yang dikompaun datang dari arah Kuala Lumpur menghala Genting Highlands," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, kompaun dikeluarkan di bawah peraturan 17(1) Akta Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDPPB) 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 2:43 PM