M Hifzuddin Ikhsan


Kuala Nerang: Kewujudan tanda garisan pada pokok balak di Kompartmen 41 Hutan Simpan Bukit Perangin mencetuskan tanda-tanya di kalangan penduduk Mukim Tualak, di sini, yang bimbang kemungkinan aktiviti pembalakan akan dilakukan di kawasan itu.

Ini berikutan tanda tiga garisan pada balak menunjukkan pokok itu akan ditebang, manakala tanda dua garisan adalah proses 'cuci mangkuk' atau seluruh pokok yang akan ditebang.

Justeru, timbul kebimbangan pokok balak di kawasan itu bakal ditebang sedangkan terdapat Sungai Janing di kawasan itu yang menjadi sumber air utama kepada 120 rumah penduduk kampung berdekatan.

Tinjauan mendapati terdapat laluan balak baharu dibuka bermula dari hutan berdekatan Taman Eko Rimba Puncak Janing selain kesan jentera berat melalui kawasan berkenaan menuju ke atas bukit.

Malah, terdapat kira-kira 40 pokok balak terutamanya berdekatan aliran sungai dalam Kompartmen 41 mempunyai tanda garisan dipercayai dilakukan pihak tertentu bagi tujuan aktiviti pembalakan.

Penduduk Kampung Baru, Mohd Naeim Ramli, 33, berkata mereka mula mengesan kehadiran jentera berat di hutan Bukit Perangin pada hujung bulan lalu lalu membuat pemeriksaan bersama rakan.

Katanya, penduduk sebelum ini dimaklumkan hanya Kompartmen 40, 42 dan 43 diluluskan bagi aktiviti pembalakan, manakala Kompartmen 41 tidak boleh ditebang kerana menjadi zon pemampan berikutan terdapat aliran sungai.

Penduduk kampung menunjukkan antara pokok yang ditanda dipercayai bagi melakukan aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Bukit Perangin berdekatan Taman Eko Rimba Puncak Janing. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Penduduk kampung menunjukkan antara pokok yang ditanda dipercayai bagi melakukan aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Bukit Perangin berdekatan Taman Eko Rimba Puncak Janing. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR

"Bagaimanapun, kami terkejut apabila sejumlah pokok berdekatan sungai termasuk yang berada di dalam sungai sudah ditanda dengan cat merah menunjukkan balak berkenaan akan ditebang.

"Sekiranya pokok berkenaan ditebang, penduduk kampung akan mengalami kesan kerana selut dan tanah merah akan masuk ke kolam tadahan menyebabkan bekalan air masyarakat tidak dapat digunakan," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Katanya, penduduk sudah melaporkan kejadian kepada Pejabat Daerah Padang Terap sebagai bantahan sekali gus menghalang sebarang kegiatan pembalakan dilakukan di kawasan itu pada masa hadapan.

Penduduk lain Saiful Hasni Abd Rahman, 38, berkata sebarang aktiviti pembalakan di Bukit Periang bakal menyebabkan bekalan air masyarakat terjejas, malah kesan perbuatan membuka laluan balak baharu sudah dirasai apabila air menjadi kemerahan.

"Penduduk kampung tidak mempunyai bekalan air paip bersih kerana bergantung sepenuhnya kepada air bukit untuk memasak, mandi dan membasuh. Malah, bekalan air bukit juga digunakan bagi memandikan jenazah dan mengambil wuduk di masjid.

"Setiap kali hujan, bekalan air kami menjadi kotor kerana tanah merah dan air selut masuk ke kolam tadahan. Kami risau jika kegiatan pembalakan diluluskan, bekalan air kami tidak dapat digunakan pada masa hadapan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) Muhamad Abdullah berkata, tiada aktiviti pembalakan berlaku sekitar Taman Eco Rimba Puncak Janing sehingga menyebabkan sumber bekalan air masyarakat menjadi keruh.

Menurutnya, sumber air di perkampungan sekitar menjadi keruh kerana aktiviti penyelenggaraan dan pembersihan jalan balak lama yang sedang dilaksanakan untuk kegunaan kakitangan jabatan itu.

"Taman Eco Rimba Puncak Janing adalah hutan lipur yang diurus JPNK dan terletak di Kompartmen 41 Hutan Simpan Bukit Perangin.

"Penyelenggaraan dan pembersihan jalan balak lama itu bagi kegunaaan kakitangan JPNK menjalankan aktiviti pra pelesenan untuk kelulusan kawasan pembalakan di Kompartmen 42 dan Kompartmen 43 Hutan Simpan Bukit Perangin," katanya dalam kenyataan, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Jun 2021 @ 5:34 PM