KAWASAN Peranginan Bukit Wang, Jitra. Luqman Hakim Zubir
KAWASAN Peranginan Bukit Wang, Jitra. Luqman Hakim Zubir
M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Kerajaan negeri menolak dakwaan mengatakan kejadian kepala air di sekitar Bukit Wang, Jitra, kelmarin berpunca daripada kegiatan pembalakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya mengesahkan bahawa tiada sebarang aktiviti pembalakan dibenarkan dibuat di kawasan hutan simpan berkenaan.

Menurutnya, antara punca kejadian kepala air dan banjir kilat berlaku adalah disebabkan hujan lebat berterusan selama beberapa jam sekitar kawasan Bukit Wang yang turut meningkatkan aliran sungai.

"Di Bukit Wang tiada pembalakan. Punca kepala air adalah hujan lebat, memang tiada pembalakan di sana," katanya ketika ditemui selepas Prorgam Executive Talk Perundangan Perancangan Bersama Ahli-Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) 2021 di sini, hari ini.

Dalam kejadian Selasa lalu, hujan lebat sejak jam 4 petang menyebabkan berlaku kejadian kepala air dan banjir kilat menjejaskan penduduk beberapa kampung sekitar Changlun.

Kejadian turut mengakibatkan 16 pengunjung air terjun Bukit Wang terperangkap, namun dapat diselamatkan anggota bomba.

Semalam, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK), Muhamad Abdullah turut menolak dakwaan kejadian kepala air di Bukit Wang adalah disebabkan pembalakan, malah anggotanya turut melakukan pemantauan di lokasi kejadian.

Katanya, kejadian yang berlaku di Kompartmen 24, Hutan Simpan Bukit Perangin itu berlaku akibat kadar taburan hujan yang tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 November 2021 @ 4:52 PM