Hasni Mohammad
Hasni Mohammad
BERNAMA

Johor Bahru: Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menerima sumbangan 20,000 unit Panbio Covid-19 Rapid Test Kit Antigen (RTK-Ag) yang akan digunakan untuk saringan secara bersasar di sekitar bandar raya ini.

Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam laman Facebook Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad, menteri besar itu berkata, kit ujian berkenaan merupakan sumbangan Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) dengan kerjasama Yayasan Temasek.

"Saya mewakili YSIJ selaku Pengerusi Kehormat menyerahkan sumbangan RTK-Ag itu kepada Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Aman Rabu semalam.

"Sumbangan ini juga selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk membantu JKNJ dalam usaha menjalankan ujian di lapangan secara bersasar," menurut hantaran itu hari ini.

Hasni berkata kerajaan negeri juga menyanjung tinggi usaha YSIJ khususnya dalam soal kebajikan dan bantuan yang telah disalurkan sepanjang pandemik Covid-19.

Pada 9 Jun lalu, Hasni dilaporkan berkata kerajaan negeri tidak akan melaksanakan ujian saringan Covid-19 secara besar-besaran sebaliknya saringan bersasar di kawasan berisiko dan antara kaedah akan digunakan ialah melalui 20,000 kit ujian RTK-Ag yang diterima daripada Singapura melalui YSIJ.

Beliau dipetik sebagai berkata, kit ujian itu mampu memberi keputusan ujianCovid-19 dalam tempoh kira-kira lima minit dan ketepatan mencapai 98 peratus, sekali gus membantu mengesan jangkitan Covid-19 lebih awal di sekitar kawasan Johor Bahru.

Johor merekodkan 426 kes baharu semalam, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan Covid-19 di negeri ini sebanyak 63,772 dengan 435 kematian.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Jun 2021 @ 5:59 PM