GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
Yusmizal Dolah Aling dan Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Ketepatan kit ujian pantas (RTK) antigen (RTK-Ag) yang mencecah 90 peratus membantu ujian saringan lebih cepat dijalankan di lapangan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan meningkatkan penggunaan RTK-Ag khususnya di negeri terjejas seperti Sabah dan Selangor.

Menurutnya, penggunaan kit pantas itu membolehkan keputusan diperoleh terus di lapangan dalam tempoh antara 30 hingga 45 minit sekali gus mempercepatkan tempoh menunggu.

"Malaysia sudah menggunakan RTK-Ag ini pada Mei lalu dan lebih awal berbanding saranan dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) pada September lalu.

"RTK-Ag ini kini banyak digunakan di lapangan seperti tapak bina dan kilang membabitkan warga asing," katanya dalam sidang media Taklimat Khas Covid-19, di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, setakat ini Malaysia sudah menjalankan 483,686 ujian RT-Ag sejak September lalu bagi mendapatkan keputusan segera saringan Covid-19.

Katanya, sekiranya individu yang menjalani ujian RT-Ag disahkan positif, mereka sekali lagi akan menjalani ujian RT-PCR (Ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction) yang lebih tepat.

Beliau berkata, KKM kini menggunakan kaedah 'sasaran pintar' untuk mengesan individu yang positif kerana ia lebih bersasar.

Katanya, menerusi kaedah itu, individu yang berada di lokaliti yang berisiko saja akan disaring.

"Setakat hari ini, seramai 2.49 juta individu di seluruh negara sudah menjalani ujian saringan yang dijalankan sama ada menerusi fasiliti KKM atau swasta," katanya.

Katanya, KKM kini menumpukan usaha untuk menurunkan Nilai Kebolehjangkitan atau R0 (R naught) antara 0.5 hingga 0.3.

Beliau berkata, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berjaya menurunkan jumlah kes walaupun data yang diperoleh KKM menunjukkan mungkin berlaku peningkatan kes mendadak.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2020 @ 6:10 PM