Muhammad Haidir (kanan) gembira bersama neneknya Faridah (tengah) yang baru selesai menjalani kuarantin di Hospital Tampin akibat Covid-19 ketika ditemui dirumahnya di Bandar Sunggala. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Muhammad Haidir (kanan) gembira bersama neneknya Faridah (tengah) yang baru selesai menjalani kuarantin di Hospital Tampin akibat Covid-19 ketika ditemui dirumahnya di Bandar Sunggala. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: "Sesiapa yang sudi bantu kami, saya amat hargai tetapi bukan dengan cara mengambil adik-adik saya, memang (saya) tak akan bagi," kata Muhammad Haidir Rodzi, 23, abang sulung lima beradik yatim piatu yang tinggal di Bandar Sunggala di sini.

Muhammad Haidir adalah anak sulung dari lima beradik kini memikul tanggungjawab berat selepas ibu bapanya, Rodzi Tahar, 55 dan Nazita Idris, 45, meninggal dunia minggu lalu akibat Covid-19 ketika dirawat di Hospital Tampin.

Selain perlu menjaga empat adik iaitu Muhammad Hairie, 20; Nurhairieka,18; Muhammad Haiqiel, 13 dan Muhammad Khierzamani, 7, Muhammad Haidir juga perlu menjaga neneknya, Faridah Md Shahar, 74, yang baru sembuh jangkitan wabak pembunuh itu.

Menurutnya, dia tidak mahu berpisah dengan adik beradiknya kerana itu adalah amanat terakhir arwah ibunya sebelum di bawa ke hospital.

"Sebelum ini ada pihak menghubungi saya, mereka nak bantu menjaga dua adik yang masih bersekolah tetapi saya keberatan menyerahkan mereka kepada mana-mana pihak.

"Macam mana susah sekali pun saya tidak akan beri adik-adik kepada orang lain atau mana-mana pihak, susah senang biarlah kami bersama sampai bila-bila," katanya.

Muhammad Haidir berkata, dia bersyukur kerana dia dan adik-adik serta neneknya baharu selesai menjalani kuarantin selepas turut disahkan positif Covid-19.

Tambahnya, dia akan mula bekerja sebagai sukarelawan di Pusat Kuarantin Dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Politeknik Port Dickson Isnin ini.

"Adik kedua saya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan pun sudah mula bekerja hari ini sebaik disahkan bebas jangkitan.

"Isnin nanti saya akan sambung tugas sebagai sukarelawan di PKRC sehingga September ini dan selepas itu saya akan fikir cari kerja tetap demi masa depan keluarga," katanya.

Menurut Muhammad Haidir, dia ada menerima tawaran pekerjaan daripada pelbagai pihak yang simpati dengannya namun belum membuat keputusan.

Menurutnya, banyak urusan yang perlu diselesaikan dan difikirkan terutama soal dua adik yang bersekolah dan semuanya memerlukan perhatian.

"Terima kasih kepada semua pihak sama ada dari Baitulmal, pemimpin politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang prihatin dan sudi membantu.

"Saya sangat menghargainya. Saya pun tak sangka keadaan jadi macam ini, kita hanya merancang Allah yang menentukan," katanya.

Sementara itu, neneknya, Faridah, turut mengharapkan yang kesemua cucu-cucunya itu tidak dipisahkan dan biarlah mereka bersama sampai bila-bila.

Katanya, sebagai nenek dia berharap mereka dapat terus tinggal bersamanya yang dijaganya sejak kecil sejak lagi.

"Saya sudah cakap pada Along (Haidir), biarlah kita sama-sama susah tetapi jika ada orang minta nak jaga adik, jangan beri, ucap terima kasih kerana simpati mereka.

"Apa yang saya harapkan sekarang supaya saya diberi kesihatan yang baik, dapat menjaga dan tengokkan mereka semua selagi saya masih hidup" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Jun 2021 @ 5:47 PM