Antara barangan yang dirampas daripada suspek. Foto Ihsan PDRM
Antara barangan yang dirampas daripada suspek. Foto Ihsan PDRM
Nuraliawati Sabri

Melaka: Padah 'menjerat' seorang ibu tunggal sehingga wanita terbabit kerugian kira-kira RM78,200 pada akhir bulan lalu, seorang lelaki Nigeria ditahan polis dalam satu serbuan kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka Superintendan E Sundra Rajan berkata, suspek berusia 38 tahun itu ditahan sepasukan polis dari JSJK Melaka dan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Alor Gajah dalam Ops Tiong di sebuah apartment di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada 12 tengah hari.

Menurutya, suspek ditahan selepas dipercayai terbabit dalam aktiviti 'Love Scam' dan menggunakan nama Mahmudin Jafaar di Facebook (FB).

"Siasatan mendapati suspek dipercayai menjalankan aktiviti ini bersama rakan penjenayah lain dan usaha mengesan individu itu sedang dijalankan.

"Semakan mendapati suspek tinggal di negara ini sejak Mac tahun lalu dengan menggunakan pas lawatan," katanya.

Beliau berkata, tiga buah telefon bimbit beberapa barangan lain dirampas dalam serbuan itu.

"Polis turut merampas sebanyak 14 keping kad mesin juruwang automatik (ATM) pelbagai bank yang didaftarkan atas nama individu lain, sampul kurier, pasport dan juga sebuah iPad.

"Semakan terhadap pas lawatannya juga mendapati ia tamat tempoh dan suspek tinggal lebih masa di negara ini," katanya.

Sundra Rajan berkata, suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, guru agama kerugian lebih RM78,000 selepas diperdaya lelaki yang baru dikenali melalui FB pada akhir bulan lalu.

Mangsa berusia 49 tahun itu terpedaya selepas dijanjikan suspek untuk memberinya hadiah perkenalan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Jun 2021 @ 1:01 PM