Sebanyak sembilan kompaun dikenakan oleh MBSA kepada individu yang masuk beriadah (jogging) di taman-taman awam yang ditutup. FOTO IHSAN PDRM
Sebanyak sembilan kompaun dikenakan oleh MBSA kepada individu yang masuk beriadah (jogging) di taman-taman awam yang ditutup. FOTO IHSAN PDRM
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Sengaja undang masalah apabila sembilan individu dikenakan kompaun kerana beriadah di taman walaupun menyedari ia melanggar arahan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) bermula 1 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner, Baharudin Mat Taib berkata, kompaun dikenakan kepada individu terbabit ketika pihaknya mengadakan operasi pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bersama petugas Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Taman Tasik Seksyen 7 dan Taman Tasik Shah Alam, Seksyen 14 bermula jam 7.30 pagi tadi.

"Sebanyak sembilan kompaun dikeluarkan oleh MBSA mengikut Seksyen 109 Akta Kerajaan Tempatan 1976 kerana kesalahan tidak mematuhi PKP Covid-19 dengan memasuki kawasan taman awam yang ditutup," katanya.

Baharudin menyeru semua masyarakat umum terutamanya di Shah Alam mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

"Aktiviti joging secara individu hanya dibenarkan di taman kejiranan sekitar rumah masing-masing sahaja.

"Tindakan berjoging dan beriadah di taman-taman awam adalah tidak dibenarkan sama sekali," katanya.

Terdahulu tinjauan wartawan di sekitar Taman Tasik Seksyen 7 di sini, mendapati masih ramai individu berdegil dan melakukan aktiviti riadah seperti biasa di dalam taman itu walaupun MBSA sudah memasang kain rentang dan tali larangan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Jun 2021 @ 7:05 PM