SEBUAH premis perniagaan makanan diarahkan tutup oleh Penguatkusa MBSA selepas didapati tidak mengikut SOP ketika Operasi Bersepadu Pemantauan Kedai Makan dan Restoran Yang Ingkar PKPB di sekitar Shah Alam. FOTO MUHD ASYRAF SAWAL
SEBUAH premis perniagaan makanan diarahkan tutup oleh Penguatkusa MBSA selepas didapati tidak mengikut SOP ketika Operasi Bersepadu Pemantauan Kedai Makan dan Restoran Yang Ingkar PKPB di sekitar Shah Alam. FOTO MUHD ASYRAF SAWAL
Ruwaida Md Zain


MAJLIS Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengarahkan sembilan premis makanan di bawah kawasan pentadbirannya ditutup serta merta kerana gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai (PKPBD), hari ini.

Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan berkata, premis makanan itu diarahkan tutup antaranya kerana tidak menyediakan meja dalam jarak ditetapkan, tidak menyediakan buku pendaftaran pelanggan bagi premis yang tidak mendaftar dengan aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan tidak mengambil bacaan suhu pelanggan.

"Sebanyak 72 restoran dan dua penjaja diperiksa di sekitar kawasan Seksyen U1-U6, Seksyen 1-14, Seksyen 15-25), Sekitar Pej Cawangan Sg. Buloh (Seksyen U5, U19, U20).

"Daripada jumlah itu, sembilan premis diarahkan tutup serta merta selain 48 kompaun di atas pelbagai kesalahan dikeluarkan termasuk di bawah Akta Kerajaan Tempatan (Akta 171), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133), Undang- Undang Kecil Establishment Makanan MBSA 2007) serta Undang- undang Kecil Pelesenan Trade, perniagaan dan perindustrian MBSA," katanya dalam sidang media di salah sebuah premis yang diarahkan tutup dalam Ops Bersepadu Pematuhan SOP PKPBD Premis Restoran Sekitar Kawasan Pentadbiran MBSA Bersama IPD Shah Alam di Seksyen 19, Shah Alam tadi.

Operasi bersepadu MBSA itu hasil kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Kesihatan Negeri Selangor membabitkan 115 kekuatan pegawai dan anggota.

Mohd Rashidi bagaimanapun berkata, tindakan terbabit tidak saja dikenakan kepada pemilik premis, sebaliknya pelanggan yang ingkar juga boleh dikenakan tindakan.

Ini kerana katanya, kebelakangan ini pihaknya menerima aduan pengunjung juga gagal mematuhinya seperti tiada penjarakan sosial, duduk secara berkumpulan dan sebagainya.

"Ada juga pemilik premis sendiri memberitahu MBSA, mereka sudah patuhi SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN), bagaimanapun pengunjung agak degil, mereka sukar kawal pengunjung yang datang malah pemilik premis tidak berani menegur kerana mereka takut kehilangan pelanggan.

"Penduduk setempat juga buat aduan, pengunjung tidak patuhi SOP seperti berada terlalu lama di premis, duduk di meja lebih dari jumlah ditetapkan, walaupun pemilik premis sudah tetapkan syarat," katanya.

Beliau berkata, MBSA amat berharap sama ada pemilik premis dan pengunjung memberikan kerjasama dan menghargai kelonggaran diberikan oleh kerajaan itu.

"Semua pihak terutamanya kepada pemilik kedai makan dan restoran amat diharapkan supaya kita dapat bersama-sama memutuskan rantaian Covid-19.

"Terus patuhi SOP yang ditetapkan oleh kerajaan dan pemilik kedai makan dan restoran juga diminta untuk memberi teguran dan nasihat kepada pelanggan yang gagal mematuhi SOP yang disyaratkan seperti menjaga panjarakan sosial, tidak berkumpul semasa berurusan di kedai makan dan restoran, " katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2020 @ 5:39 PM