GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: Warga emas didenda RM8,040 oleh Mahkamah Majistret Jelebu selepas didapati bersalah menipu seorang wanita Orang Asli dalam penipuan kiriman bungkusan (parcel) tidak wujud.

Majistret Muhammad Hidayat Wahab menjatuhkan hukuman itu ke atas Mastura Othman, 61, dari Sikamat, Seremban selepas tertuduh mengaku bersalah sebaik 11 pertuduhan ke atasnya dibaca jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan didapati dalam milikan akaun bank tertuduh wang berjumlah RM72,000 yang diperolehi secara curang di mana tertuduh gagal memberi penjelasan yang munasabah bagaimana wang berkenaan diperolehi.

Berikutan itu tertuduh dituduh mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1995.

Berdasarkan fakta kes seorang pengadu berusia 21 tahun yang bekerja sebagai penoreh getah menerima panggilan daripada daripada pihak kurier berkaitan penghantaran barang dari luar negara iaitu kasut, emas, jam tangan, beg tangan, barangan berjenama dan wang tunai AS$.

Pengadu diminta membuat bayaran ke atas semua cukai yang belum dibayar sebelum pengadu membuat 11 transaksi ke akaun Hong Leong Bank milik tertuduh.

Hasil siasatan polis mendapati pengadu diperdaya oleh scammer (tipu parcel) dengan tertuduh memulakan perkenalan di Facebook sebelum menyamar menjadi kurier.

Ketika disiasat tertuduh mendakwa tidak mengetahui ada kemasukan wang ke akaunnya namun membuang kad ATM selepas menerima panggilan dari pihak bank selain tidak membuat laporan polis.

Muhammad Hidayat turut mengarahkan tertuduh menjalani hukuman 87 bulan penjara sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh diwakili peguam Halimaton Mohamad Nor.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Mei 2021 @ 1:35 PM