BANDUAN yang melarikan diri dari Penjara Jelebu dibawa ke Mahkamah Majistret Bahau hari ini. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
BANDUAN yang melarikan diri dari Penjara Jelebu dibawa ke Mahkamah Majistret Bahau hari ini. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Enam daripada tujuh banduan yang melarikan diri dari Penjara Jelebu pada 10 April lalu didakwa di Mahkamah Majistret Bahau, di sini, hari ini.

Kesemua tertuduh Sohaimi Khalid, 50; Mazlan Samah, 39; Mohamad Aminudin Khan Mohd Yusof, 28; Mohd Zairizan Zainal, 42; Shazuan Md Sharif, 32 dan warga negara Indonesia, Zainuddin, 62 bagaimanapun tidak mengaku salah sebaik pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Muhammad Hidayat Wahab.

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua tertuduh secara bersama dengan seorang lagi yang masih bebas didapati dengan sengaja mengambil peluang melarikan diri daripada tahanan yang sah mengikut undang-undang.

Kesemua tertuduh melarikan diri dari Institut Pemulihan Dadah Jelebu, Jabatan Penjara Malaysia pada 2 petang, 10 April lalu.

Kesemua tertuduh dituduh mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Muhammad Hidayat, kemudian menetapkan 12 Mei bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

Mahkamah juga tidak membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Loqman Hakim Ahmad Khairie manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2022 @ 12:18 PM