Mahkamah Majistret Jelebu. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Mahkamah Majistret Jelebu. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: Tindakan mencetuskan kekecohan dan pergaduhan di perkarangan balai polis menyebabkan dua lelaki dan seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jelebu di sini, tadi.

Tertuduh, Juraman Simon Taka, 56, dari Ampang, Selangor; Mohd Firdaus Zakaria, 35, dari Bandar Seri Jempol dan Rosnida Zakaria, 31, dari Bahau, membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Muhammad Hidayat Wahab.

Mengikut pertuduhan ketiga - tiga tertuduh didapati berkelakuan tidak senonoh sehingga mencetuskan kekecohan dan pergaduhan di perkarangan Balai Polis Bahau pada jam 2.50 petang, 16 Januari lalu.

Berikutan itu mereka didapati melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Muhammad Hidayat kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM500 dan enam bulan penjara sekiranya gagal membayar denda terhadap Juraman.

Manakala Mohd Firdaus dan Rosnida masing-masing dijatuhi hukuman denda RM450 serta RM300 selain penjara lima dan empat bulan sekiranya gagal membayar denda.

Kesemua tertuduh membayar denda berkenaan.

Ketiga - tiga suspek sebelum itu direman selama empat hari bagi membantu siasatan polis.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Loqman Hakim Ahmad Khairie manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 5:39 PM