GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Jelebu di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh ibu saudaranya.

G Gobinathan 45, dari Bandar Seri Jempol yang bekerja sendiri mengangguk faham selepas pertuduhan dibaca terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Muhammad Hidayat Wahab.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mengikut pertuduhan, Gobinathan didakwa menyebabkan kematian A Nirmala, 51, di Kampung Dusat, Jempol antara jam 7.30 malam, 3 Mac hingga 3.30 pagi 4 Mac lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Muhammad Hidayat menetapkan 16 April depan bagi laporan kimia dan bedah siasat.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimimanakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan siasatan polis, tertuduh anak saudara kepada Nirmala dan ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam pembunuhan itu.

Terdapat beberapa kesan kecederaan di kepala, tangan dan kaki mangsa yang ditemui dalam keadaan terbaring di atas tilam di hadapan pintu masuk rumah mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mac 2021 @ 5:16 PM