WARGA asing yang ditahan dan barangan dirampas dalam serbuan di Taman OUG. FOTO ihsan Polis
WARGA asing yang ditahan dan barangan dirampas dalam serbuan di Taman OUG. FOTO ihsan Polis
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Dua warga asing ditahan dalam serbuan di Taman OUG, di sini semalam selepas disyaki menjalankan kegiatan perjudian dalam talian.

Serbuan pada 10.50 malam itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields bersama pakar judi dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, kedua-dua suspek terdiri daripada lelaki, 40, dan wanita, 36, yang bekerja sebagai penjaga premis.

"Hasil siasatan awal mendapati, kedua-dua suspek baru sebulan bekerja di premis terbabit.

"Polis turut merampas tujuh komputer yang digunakan untuk aktiviti perjudian. Rampasan berkenaan dianalisis oleh pakar judi yang hadir ketika serbuan dilakukan dan ia disahkan komputer yang digunakan memang ada unsur-unsur perjudian dalam talian," katanya.

Anuar berkata, kedua-dua suspek juga gagal mengemukakan pas perjalanan sah dan dibawa ke IPD Brickfields untuk tindakan lanjut penyiasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Mei 2021 @ 2:37 PM