FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis menumpaskan sindiket perjudian dalam talian yang mensasarkan warga China sebagai pelanggan selepas menyerbu kediaman yang dijadikan pusat operasi mereka di KL Gateway, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, serbuan pada 10 malam itu berjaya menahan 12 individu termasuk lima warga China berusia antara 17 hingga 25 tahun.

"Pemeriksaan mendapati semua individu berkenaan adalah pekerja di pusat operasi terbabit, mereka ditugaskan untuk mencari pelangan dari China melalui aplikasi QQ, wechat dan skype sebelum mempromosikan perjudian dalam talian.

"Analisa ke atas komputer riba dan telefon pintar yang dijumpai di premis mendapati terdapat aktiviti yang mengandungi unsur-unsur berkaitan perjudian dalam talian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Anuar berkata, semua tangkapan mengaku bekerja selama dua minggu di premis terbabit dengan bayaran gaji antara RM2,500 hingga RM3,000 mengikut kepakaran.

"Polis merampas 11 komputer riba jenama Dell, pelbagai peralatan komputer dan 49 telefon pintar pelbagai jenama serta peralatan akses internet.

"Semua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Mei 2021 @ 2:53 PM